Peniaga asal Astaka Stadium Bandaraya mesti dibantu, pemindahan disegerakan – Jagdeep

GAMBAR di tapak parkir yang akan dijadikan tempat jaja sementara buat peniaga asal Astaka Stadium Bandaraya di sini.

DATUK KERAMAT – Para peniaga yang hilang tempat berniaga makanan ekoran kejadian kebakaran di Astaka Stadium Bandaraya baru-baru ini akan dipindahkan sesegera mungkin oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke tapak jaja berbumbung sementara baharu di kawasan parkir berhampiran di sini.

JAGDEEP Singh Deo (depan, empat dari kiri) diiringi R.S.N. Rayer (depan, tiga dari kiri menyampaikan cek replika sumbangan berkaitan kepada para penjaja asal di perkarangan luar Astaka Stadium Bandaraya di sini pada pagi tadi.

Bukan setakat itu sahaja, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut mengumumkan pemberian sumbangan bantuan hampir RM44,000 kepada mangsa kebakaran berkenaan.

“Kesemua penerima seramai 18 penggerai yang mana empat gerai musnah akibat kebakaran.

“Sesetengah penerima mungkin akan mendapat lebih bantuan disebabkan kemusnahan gerai mereka semasa kebakaran baru-baru ini.

“Ini adalah langkah sementara dan segera  bagi membantu mereka agar dapat memulakan perniagaan di tapak (parkir berbumbung sementara) baharu ini,” jelasnya dalam sidang media berkaitan selepas melihat proses mengecat petak niaga di kawasan parkir tersebut di sini pada 21 Januari 2023.

GAMBAR beberapa petugas sedang mengukur saiz kawasan petak niaga di tapak parkir di sini pada awal pagi tadi.
GAMBAR salah seorang kakitangan MBSP sedang mengecat garisan petak berniaga di kawasan parkir berhampiran Astaka Stadium Bandaraya.
JAGDEEP Singh Deo mengambil kesempatan mengecat petak kawasan berniaga di tapak parkir di sini antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Berdasarkan maklum balas daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Jagdeep memberitahu bahawa punca kebakaran adalah disebabkan ’permasalahan’ pada kabel elektrik di astaka berkenaan.

Sehubungan itu, beliau telahpun mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya segera melakukan pemeriksaan keadaan kabel elektrik di semua premis komersial milik kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Memandang ke depan, Jagdeep turut memberitahu bahawa pihaknya dalam rancangan membina semula sebuah kompleks makanan baharu dengan reka bentuk lebih selamat dan selesa di tapak asal Astaka Stadium Bandaraya di sini.

R.S.N. Rayer

Bercakap dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer turut mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah RM44,000, sama seperti yang diumumkan Jagdeep, kepada mangsa-mangsa kebakaran berkenaan.

“Sebagaimana disebutkan oleh YB Jagdeep, para peniaga kedai makan di sini umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kita (wakil rakyat) begitu faham keadaan mangsa-mangsa kebakaran di astaka ini, saya harap mereka bersabar.

“Kita (sebagai wakil rakyat) akan bantu mereka bagi memulakan operasi perniagaan mereka sesegera mungkin di tapak (jaja berbumbung sementara) ini,” ujarnya lagi.

A. Rajendran (kiri) dan R.S.N. Rayer pada awal pagi tadi saling berbincang dengan peniaga asal mengenai cadangan menentukan petak kawasan niaga di tapak parkir awam berhampiran Astaka Stadium Bandaraya di sini.
A. Rajendran

Sementara itu, Setiausaha Bandaraya MBSP, Dato’ Ir. A. Rajendran memberitahu bahawa sejak awal pagi tadi pihaknya telahpun mengarahkan pelaksanaan kerja-kerja melukis serta mengecat petak niaga di kawasan parkir berhampiran Astaka Stadium Bandaraya di sini.

“MBPP telah diberi arahan untuk menjalankan kerja-kerja di tapak ini secepat mungkin untuk membolehkan peniaga-peniaga di sini mendapat suatu tempat alternatif sementara sehingga bangunan baharu disediakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Rajendran memaklumkan bahawa keputusan melukis serta mengecat kawasan petak niaga seluas 20 kaki X 10 kaki di tapak jaja berbumbung sementara di sini adalah hasil perbincangan awal dengan para penjaja asal di Astaka Stadium Bandaraya pada awal pagi tadi.

‘ANAS’

Sementara itu, ‘Anas’ iaitu wakil kepada pada penjaja asal di Astaka Stadium Bandaraya selepas pada itu memberitahu Buletin Mutiara bahawa rata-rata mereka setakat ini berpuas hati dengan langkah segera MBPP dan kedua-dua wakil rakyat tempatan membantu mangsa-mangsa kebakaran terbabit.

“Kami, penggerai-penggerai di sini mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Bandaraya MBPP kerana sejak kejadian kebakaran sampai hari ini, merupakan individu paling awal turun bertemu kami.

“Terima kasih juga kepada YB Jagdeep dan YB Rayer kerana sudi membantu kami di sini untuk mempercepatkan proses pemindahan dan penempatan kami di tapak (jaja berbumbung sementara) ini,” jelasnya sambil memberitahu inisiatif pelbagai pihak berwajib sekali gus melambangkan Kerajaan Negeri hari ini cakna kebajikan rakyat.

Ahli Majlis bagi MBPP, Mohd. Faruk Abdul Rahman turut sertai sidang media tersebut.

GAMBAR dari depan struktur fizikal Astaka Stadium Bandaraya yang dirakamkan lensa Buletin Mutiara pada pagi tadi.

Terdahulu, kira-kira lapan lot kedai makan yang menjadi lokasi tumpuan pelanggan tempatan dan luar Pulau Pinang di Astaka Stadium Bandaraya di sini dilaporkan terbakar pada pagi 18 Januari 2023 lepas.

Api kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Bomba pada pukul 7.52 pagi dan operasi tersebut tamat 15 minit kemudian.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI