Tanglung merah meriahkan sambutan Tahun Baru Cina, tanda terima kasih kepada komuniti setempat

Admin

AIR ITAM – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mengambil inisiatif memasang 98 tanglung berwarna merah di Jalan Boundary dekat Padang Tembak di sini bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

 

Syerleena dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa inisiatif pemasangan tanglung tersebut juga adalah sebagai tanda terima kasih kepada penduduk di Parlimen Bukit Bendera atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau selama ini.

 

Malaysia adalah negara majmuk yang berbilang budaya dan kepercayaan. 

 

“Manakala empati pula adalah nilai yang amat penting serta mampu menghakis elemen-elemen negatif seperti perkauman yang dapat menggugat keamanan negara.

 

“Oleh yang demikian, rakyat perlu mengambil langkah proaktif dan mengambil tahu adat resam kaum-kaum lain serta memahami perbezaan dengan mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama kita,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Tanglung Sempena Tahun Baru Cina di sini pada 20 Januari 2023.

 

SYERLEENA Abdul Rashid (depan, empat dari kanan) bersama-sama tetamu dan komuniti setempat yang hadir memberi pose istimewa sempena majlis pelancaran tanglung di Jalan Boundary dekat sini.

 

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis MBPP, T.S. Kaliyappan dan Mohd. Faruk Abdul Rahman serta komuniti setempat antara yang hadir memeriahkan penyalaan lampu tanglung di sini.

 

Difahamkan, Syerleena memperuntukkan sejumlah RM18,000 bagi pemasangan tanglung-tanglung tersebut yang turut disokong sepenuhnya oleh MBPP.

 

SEBAHAGIAN tanglung yang dipasang telah merubah suasana kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 22 Januari 2023.

 

Selain di Jalan Boundary, Syerleena turut memperuntukkan sejumlah RM15,800 bagi pemasangan tanglung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima.

 

“Tanglung-tanglung seperti ini juga dipasang di Taman Kejiranan Karpal Singh (dengan peruntukan sebanyak RM10,400) dan di Tanah Lapang Jalan Gangsa (RM5,400) menggunakan peruntukan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : PEJABAT AHLI PARLIMEN