Peniaga dan pemilik ladang durian diseru mendaftar, pasar jualan menerusi JBO@MBPP

Admin

GEORGE TOWN – Para peniaga dan pemilik ladang durian diseru untuk mendaftar serta memasarkan produk jualan mereka secara atas talian menerusi platform Jom Beli Online @ Majlis Bandaraya Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai JBO@MBPP.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, peniaga dan pemilik ladang boleh memilih untuk menjalankan perniagaan secara hibrid iaitu melalui JBO@MBPP dan juga platform-platform MBPP yang lain seperti Business From Farm (BFF), Business From Shop (BFS) ataupun Business From Stall/Gerai (BFG).

“Pendaftaran untuk BFF, BFS dan BFG ini dapat dilakukan di platform JBO@MBPP mulai esok (21 Mei 2021).

“Manakala, dalam masa sama, sebanyak 74 gerai kosong di pasar-pasar awam dan kompleks MBPP akan dibuka khusus untuk pendaftaran penjualan durian dengan kadar caj minimum iaitu RM85/minggu… kelulusan berdasarkan kepada first come first serve,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Sebagai rekod, JBO@MBPP telah diperkenalkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu bagi membantu penjaja dan peniaga kecil di sektor F&B khususnya, namun kini sesuai dengan normal baharu kini Majlis telah menaiktaraf dan menambah kepelbagaian perkhidmatan platform berkenaan.

Justeru sebagai galakan kepada orang ramai untuk membeli secara atas talian, JBO@MBPP kini menyediakan capaian perkhidmatan yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu F&B (makanan dan minuman), keluaran pasar, barangan am dan buah-buahan bermusim.

Jelas Tung Seang, inisiatif tersebut adalah bagi membolehkan lebih banyak golongan penjaja dan peniaga kecil melibatkan diri dalam perniagaan atas talian ataupun e-dagang.

“Kita (MBPP) lihat trend penerimaan penjaja dan peniaga kecil ke arah perniagaan digital semakin diterima baik, mereka (penjaja dan peniaga kecil) percaya bahawa perniagaan secara e-dagang ini adalah kaedah terbaik untuk meneruskan kesinambungan perniagaan terutamanya di bawah normal baharu kini.

“Malah, ia memudahkan dan menyenangkan orang ramai untuk mencapai perkhidmatan makanan, keperluan harian atau apa sahaja yang mereka inginkan melalui atas talian.

“Dalam masa sama, platform JBO@MBPP tersebut akan turut dipromosikan melalui laman sesawang rasmi MBPP dan Facebook rasmi Majlis yang mempunyai kira-kira 120,000 pengikut, dengan pendekatan ini dapat membantu para peniaga dan penjaja dalam memangkin ekonomi mereka,” jelas beliau.

Para penjaja dan peniaga kecil yang berminat memasarkan produk mereka di JBO@MBPP boleh berdaftar di https://jbo.mbpp.gov.my.

Sebarang pertanyaan, bantuan atau masalah sila hubungi Digital Transformation Team MBPP (Puan P. Sri Mageswari) di talian 011-2651 6403.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI