Proses sanitasi Kompleks Makanan & Minuman Super Tanker selesai

Admin

BATU UBAN – Kompleks Makanan dan Minuman Super Tanker yang terletak di Jalan Nipah dekat Taman Lip Sin, di sini yang diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada 18 Mei lalu telah melalui proses sanitasi semalam.

 

 

Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan ketika mengadakan tinjauan ke premis berkaitan bagi melihat sendiri proses nyah kuman.

 

 

Ketika ditemui, Kumaresan memaklumkan bahawa arahan menutup kompleks makanan dan minuman berkaitan adalah selaras dengan Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

 

“Di kompleks makanan ini terdapat lima kes positif yang dikesan bermula pada 18 dan 19 Mei, masing-masing ada tiga dan dua kes berturutan.

 

 

“Ini berikutan ujian saringan COVID-19 yang dilakukan pada 11 Mei lalu dan mengesan beberapa peniaga disahkan positif.

 

 

“Walau bagaimanapun, pembukaan semula kompleks ini hanya akan dimaklumkan kemudian oleh KKM sendiri,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

 

 

Mengulas lanjut, Kumaresan menggesa komuniti di DUN Batu Uban terus menjaga kebersihan kendiri serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ekoran kawasan tersebut diklasifikasikan sebagai zon merah.

 

 

“Setakat ini di Batu Uban ada dua lokasi membabitkan tempat awam, satu di pusat jagaan warga emas dan satu lagi di kompleks makanan di sini,” katanya lagi.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD