Peniaga lega dibenar beroperasi dalam Fasa 2 PPN

Admin

KERAJAAN Persekutuan telah memutuskan bahawa negeri Pulau Pinang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 7 Julai 2021.

 

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, berkesempatan menemu bual beberapa responden yang terdiri daripada peniaga-peniaga kecil untuk mendapatkan respons mereka tentang pelaksanaan PPN Fasa 2 PPN.

 

Kedai alat tulis HK Photostat Trading.

Bagi pengusaha HK Photostat Trading, TEOH HOOI HOON, 44, beliau menyokong pelaksanaan Fasa 2 dan gembira dapat menjalankan kembali perniagaan seperti biasa.

 

“Sejak diumumkan ‘lockdown’, agak sukar untuk bertahan kerana perniagaan tidak menjana sebarang pendapatan, ditambah pula dengan sewa kedai yang tetap perlu dibayar.

 

“Diharapkan peniaga-peniaga kecil seperti kami tetap dapat meneruskan perniagaan walaupun kes semakin meningkat yang berpunca daripada sektor perkilangan yang menjadi kluster kes COVID-19, jadi kami tidak terlibat dantidak perlu berkorban,” katanya lagi.

 

“Semua peniaga mahu memberikan kerjasama, cuma jika diarahkan tutup semula, tidak pasti lagi bagaimana mahu bertahan,” keluhnya yang menjual alatan tulis dan servis fotostat.

Thoo Shin Chen.

THOO SHIN CHEN, 40, pula memberitahu bahawa beliau mengalami kesukaran untuk menjalankan kembali perniagaan dek kerana tidak mempunyai pekerja dan perlu menjaga anak kecil di rumah.

 

“Saya amat gembira kedai salun dan lain-lain boleh dibuka, kerana tidak dinafikan ramai orang mahu menggunakan servis di kedai gunting rambut.

 

“Jika tiada halangan, saya akan buka salun secepat mungkin kerana telah menerima tempahan dan sebagainya dan diharapkan kebenaran beroperasi ini dapat berterusan,” ujar pemilik salun rambut itu.

 

 

Ahmad Izat Arif.

Di samping itu, bagi AHMAD IZAT ARIF ILYAS, 25, yang menjalankan perniagaan alat telekomunikasi secara ‘cash on delivery’ (cod), menyambut baik peralihan Pulau Pinang ke Fasa 2 kerana kini pelanggan boleh membuat pembelian secara ‘walk in’.

 

“Sejak lockdown syarikat kami sememangnya mengambil inisiatif untuk menjalankan perniagaan secara atas talian tanpa perlu ‘face to face’, jadi setiap pembelian hanya dibenarkan melalui servis cod hingga ke rumah.

 

“Dengan Fasa 2 telah dikuatkuasakan, pelanggan dapat walk in semula dan lebih mudah urusan pembelian dijalankan berbanding ketika Fasa 1, servis untuk membaiki telefon dan sebagainya boleh dilakukan memandangkan kedai sudah boleh dibuka.

 

“Tiada apa-apa halangan yang dihadapi untuk cod kerana kami mempunyai surat pelepasan MITI untuk berurusan, kekurangan mungkin dihadapi oleh pelanggan kerana tidak dapat melihat dan memegang sendiri sewaktu jual beli,” tambahnya lagi.

 

Pendapat sama turut diutarakan oleh penggaya rambut yang mahu dikenali sebagai YEAP, berharap agar perniagaan dapat berjalan seperti sedia kala dan tidak perlu ditutup lagi kelak.

 

“Saya risau situasi sekarang ini menjadi semakin serius kerana terdapat sesetengah orang yang masih memandang rendah dan tidak kisah terhadap prosesur operasi standard (SOP).

 

“Walaupun pusat beli belah tidak dibuka keseluruhannya, sewa kedai tetap perlu dibayar, dan kadar sewa di pusat beli belah agak mahal.

 

“Diharapkan negeri kita tidak akan mengulangi Fasa 1 kerana akan menyukarkan ramai pihak, perniagaan sejak semalam berjalan seperti biasa dan pelanggan terus-terusan membuat janji temu,” luahnya lagi.

 

Oleh: SUNARTI YUSOFF & NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS