Penjaja, komuniti peniaga disaran tingkatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan

20231216 174923

GEORGE TOWN – Penjaja dan komuniti peniaga di negeri ini disarankan untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan serta keselamatan makanan.

Perkara itu ditekankan oleh pengerusi penganjur yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Koay Gaik Kee ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjaja Dan Komuniti Peniaga Tahun 2023 dekat Dewan Bandaran Town Hall Padang Kota, di sini 16 Disember lalu.

Beliau juga berkata bahawa MBPP sentiasa menjalankan pemeriksaan dan melaksanakan penggredan premis makanan dan gerai penjaja di dalam kompleks seliaan pihak Majlis dari semasa ke semasa.

“Kebersihan dan keselamatan makanan adalah penting untuk memastikan aktiviti penjaja dan komuniti peniaga dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

20231216 175033

Pada majlis tersebut, MBPP turut mengumumkan 49 pemenang bagi lima kategori perniagaan melibatkan Restoran, Restoran Makanan Segera, Kedai Makan/Kedai Kopi, Restoran Hotel dan Restoran Nasi Kandar.

Gaik Kee berkata, proses penggredan tersebut bermula pada Januari tahun ini dengan menilai beberapa faktor seperti kebersihan, pengendali dan peralatan makanan, keselamatan gerai, suntikan tifoid yang masih aktif serta keceriaan di gerai.

Difahamkan, sebanyak 700 premis telah dibuat penilaian penggreddan dengan 633 gerai dinilai untuk gerai terbaik dalam 21 Kompleks Makanan MBPP

Selain itu, MBPP mengiktiraf tiga daripada 27 penganjur Pasar Malam yang telah menguruskan pasar malam dengan cemerlang, antaranya mengekalkan pembayaran bulanan tepat pada msanya, tiada aduan sepanjang tahun yang dinilai, susun atur pasar malam yang teratur dan kemas.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang merasmikan majlis tersebut menekankan tujuan program itu adalah untuk mengiktiraf sumbangan penjaja dan peniaga kepada pembangunan ekonomi tempatan.

“Saya percaya majlis pengiktirafan ini dapat memberi suntikan semangat kepada usaha golongan penjaja dan komuniti peniaga untuk terus menawarkan beraneka juadah makanan.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa penawaran makanan yang sedap di negeri ini menarik kemasukan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Kebanyakan daripada pelancong yang datang bukan sahaja untuk melihat keindahan Pulau Pinang tetapi turut menikmati makanan sehingga negeri ini digelar ‘syurga makanan’.

“Ini secara tidak langsung, penjaja dan komuniti peniaga ini sebenarnya telah menyumbang kepada salah satu sektor ekonomi mikro yang menjana pembangunan ekonomi negeri di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Sejajar dengan visi Penang2030, Mooi Lye menegaskan bahawa MBPP akan terus memberikan tumpuan dan perhatian dalam memastikan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat berada di landasan yang betul.

Katanya, bagi mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Negeri terus menaik taraf kemudahan pasar-pasar awam dengan sebanyak tujuh projek kompleks pasar dan tapak penjaja telah dinaik taraf serta satu projek akan dibina pada tahun ini.

“MBPP akan menjalankan aktiviti penilaian premis makanan setiap tahun dan pada tahun ini, pencapaian Gred A dan Gred B premis makanan adalah sebanyak 93.8 peratus, mlepasi sasaran yang ditetapkan adalah pada kadar 90 peratus.

“Tambahan pula, sebanyak tujuh buah pasar daripada jumlah keseluruhan 29 pasar telah menerima Gred A pada tahun ini.

“Saya amat berharap pihak MBPP akan menggandakan usaha kepada pencapaian kriteria pasar sejahtera yang mencapai Gred A di semua kompleks pasar,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : K.H. ONG