Penjaja sebagai penyumbang pertumbuhan ekonomi

Admin

GEORGE TOWN- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengiktiraf golongan penjaja sebagai sebahagian penyumbang penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri serta negara.

 

Menerusi pengiktirafan itu, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow amat berharap bahawa golongan penjaja juga memainkan peranan lebih aktif untuk menaikkan taraf sosialekonomi masing-masing secara lebih menyeluruh selaras dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

 

 

“Serentak itu, saya juga berharap dan menyeru kepada semua penjaja supaya mengambil langkah-langkah proaktif dalam meningkatkan lagi tahap kebersihan dan keindahan gerai termasuk dalam menentukan kualiti produk bersesuaian dengan gelaran ‘destinasi syurga makanan’ kepada pengguna tempatan mahupun dalam kalangan pelancong.

 

“Di Pulau Pinang, golongan penjaja harus bersyukur kerana Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) amat prihatin terhadap nasib penjaja khasnya agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan yang begitu pesat dengan mengambil langkah-langkah untuk menempatkan para penjaja di tempat-tempat perniagaan lebih selesa dan teratur dengan kemudahan serta bekalan asas.

 

“Dengan usaha-usaha ini, saya berharap golongan penjaja dapat memberi segala kerjasama kepada pihak-pihak berkuasa khususnya MBPP demi menjaga serta mempertingkatkan lagi imej industri penjaja demi kepentingan bersama,” serunya pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Gerai Makan Pasar Jalan Anson di sini tengah hari tadi.

 

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Exco ‘Caretaker’ Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Sr. Cheong Chee Hong.

 

Mengulas lanjut, jelas Kon Yeow, bangunan Kompleks Gerai Makan Pasar Jalan Anson yang telah wujud sejak tahun 1948 telah dinaik taraf pada tahun 2020 dan siap sepenuhnya pada 29 Julai 2022.

 

 

“Justeru, Kerajaan Negeri melalui MBPP ingin melihat warga peniaga dan pengunjung di Kompleks Gerai Makan Pasar Jalan Anson umpamanya merasai peranan hakiki Kerajaan Negeri dalam memperbaiki kemudahan dan tahap keselesaaan di sini.

 

 

“Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang ditubuhkan dengan kuasa mandat rakyat telah membawa pelbagai perubahan infrastruktur secara nyata yang boleh dirasai oleh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang.

 

“Namun, sebagai Kerajaan Negeri, kita tidak boleh selesa dengan segala pencapaian pembangunan yang berjaya dicapai, sebaliknya, kita perlu terus berusaha dengan lebih gigih, berpegang teguh berasaskan prinsip berjiwa rakyat serta amat peka dalam memastikan semua infrastruktur dan kemudahan awam berada di tahap terbaik dengan memastikan ianya dibaik pulih serta dinaik taraf demi keselesaan umum,” ujarnya lanjut.

 

 

Difahamkan, sejak tahun 2009, sebanyak 58 projek pembinaan, penaiktarafan dan pengubahsuaian telah dijalankan di 30 pasar awam, kompleks makanan, tapak penjaja oleh MBPP.

 

 

Sebagai tambahan, MBPP juga telah merancang penaiktarafan lapan lagi projek membabitkan struktur-struktur berkaitan bagi tahun 2024.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : DARWINA MOHD. DAUD