Pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz pemangkin urus tadbir KN

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

PARA peserta persidangan tekun mendengar perbahasan daripada wakil penceramah yang dijemput khas pada Persidangan Integriti Khalifah Umar Abdul Aziz 2011 baru-baru ini.
PARA peserta persidangan tekun mendengar perbahasan daripada wakil penceramah yang dijemput khas pada Persidangan Integriti Khalifah Umar Abdul Aziz 2011 baru-baru ini.

TANJUNG BUNGAH – Persidangan Integriti Khalifah Umar Abdul Aziz 2011 yang berlangsung baru-baru ini
buat tahun ketiga bertemakan ‘Unity of Man and Nature By Way of Intergrity’ telah dijadikan sebagai salah satu contoh kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam mengurus tadbir negeri ini dengan mapannya kini.

Persidangan yang diperkenalkan sejak 2009 memperlihatkan perkembangan positif apabila berjaya menarik lebih kurang 200 penyertaan daripada sektor awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk sama-sama bertukar-tukar pendapat dan memahami dasar Kerajaan Negeri bagi membanteras rasuah.

“Intergriti bukan saja mengenai rasuah tetapi ianya bersifat lebih universal,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang turut membidas tuduhan yang dilemparkan kepadanya untuk menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh di dalam urus tadbir Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) hari ini adalah untuk mencari penyelesaian baru. Kita tidak dapat selesaikan masalah sedia ada dengan menggunakan kaedah lama. Salah satunya adalah sistem tender terbuka. Yang mana ianya bersifat lebih telus untuk semua penduduk Pulau Pinang,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menyatakan bahawa hasil usaha Kerajaan Negeri dalam menjimatkan kewangan dan menguruskan kewangan negeri dengan bersih menunjukkan bahawa prinsip Cekap, Akaunbel dan Telus (CAT) yang dipegang oleh kerajaan menampakkan kejayaan dan perlu dicontohi selepas mendapat pujian daripada Badan Transparensi Antarabangsa Malaysia dan Ketua Audit Negara.

Turut hadir pada persidangan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bersama Penang Institute of Intergrity ialah Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.