50 syarikat terima anugerah khas PUMM

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BARISAN penganjur bergambar kenang-kenangan bersama Lim Guan Eng (lima dari kiri) dan Mohamed Nazri Abdul Aziz (empat dari kanan) sebelum bermulanya upacara majlis penyampaian penghargaan PUMM di sini.
BARISAN penganjur bergambar kenang-kenangan bersama Lim Guan Eng (lima dari kiri) dan Mohamed Nazri Abdul Aziz (empat dari kanan) sebelum bermulanya upacara majlis penyampaian  penghargaan PUMM di sini.

 

BUKIT JAMBUL – Sebanyak 50 buah syarikat telah menerima anugerah penghargaan di ‘The 2nd Top 50 Enterprise Awards Malaysia 2011’ anjuran Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), di sini baru-baru ini.

Antaranya, Boon Siew Group, IJM Corporation Berhad, SP Setia Berhad Group, Agape Superior Living Sdn. Bhd., Banner king Ads Sdn. Bhd., Delta Business Solutions Sdn. Bhd., Agro-Industries Supplies (M) Sdn. Bhd. dan Landmark Strategy Sdn. Bhd.

Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut  hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut Pengerusi PUMM, Tan Lay Seong, penganjuran penyampaian anugerah bertemakan ‘Stature Redefined, Legacy Reaffirmed’ adalah bagi memberi penghargaan dan penghormatan kepada syarikat-syarikat di Malaysia yang mencapai tahap pencapaian yang memberangsangkan dan membanggakan.

“Sejak PUMM ditubuhkan, kami (PUMM) berkerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni dan juga bagi membangunkan ekonomi dan pelaburan dalam negara.

“Malah, PUMM sentiasa memberi galakan kepada para usahawan terutama usahawan muda yang ingin bergiat dalam perniagaan serta memberi panduan kepada usahawan agar menyiapkan diri dan organisasi untuk berhadapan dengan cabaran globalisasi masa kini,’’ katanya pada majlis penyampaian anugerah di sini baru-baru ini.

LIM Guan Eng (barisan hadapan, dua dari kiri) bersama sebahagian penerima Augerah Emas ‘The 2nd Top 50 Enterprise Awards Malaysia 2011’.
LIM Guan Eng (barisan hadapan, dua dari kiri) bersama sebahagian penerima Augerah Emas ‘The 2nd Top 50 Enterprise Awards Malaysia 2011’.

Dalam pada itu, Ketua Menteri ketika berucap menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong usaha murni ke arah pemantapan ekonomi negara. Malah, Kerajaan Negeri kini telahpun mewujudkan ‘SME Village’ bagi membolehkan para pengusaha kecil dan sederhana memiliki bangunan atau kilang untuk pengeluaran produk sekaligus memberi platform kepada usahawan untuk mempromosi dan menjual produk mereka sama ada dalam negara mahupun di luar negara.

“Dengan urus tadbir CAT iaitu Cekap, Akauntabel dan Telus, serta pentadbiran yang mantap telah membolehkan Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu RM12.2 bilion. Malah, buat julung kalinya mencatat peningkatan ekonomi sebanyak 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya 7.2 peratus bagi seluruh Malaysia,” ujar beliau.