Pentadbiran saya tidak pernah bezakan kaum, agama dalam pembangunan negeri – Kon Yeow

Admin
c62de691 39aa 4e74 ac27 8e5ed9d0986d

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menekankan bahawa pentadbiran beliau tidak pernah membeza-bezakan latar belakang kaum dan agama dalam usaha pembangunan ekonomi dan sosial mahupun penglibatan politik.

Menurut beliau yang mana menerusi Belanjawan Pulau Pinang 2024, selain lain-lain aspek yang menjadi penekanan, Kerajaan Negeri tetap komitd memperuntukkan sejumlah RM21.48 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan juga sekolah agama.

“Malah, RM7.4 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri di bawah butiran Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tujuan membina baharu, menaik taraf serta kerja-kerja pembaikan, di samping bantuan-bantuan lain yang disalurkan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri bertanggungjawab.

“Dalam merealisasikan Visi Penang2030, ketelusan, keadilan, toleransi serta semangat perpaduan yang tinggi ini sangat diperlukan terutamanya dalam memastikan setiap individu di negeri ini dapat menikmati kemajuan yang telah dikecapi,’’ ujarnnya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran  Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) dekat Balai Rakyat Jalan Patani di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis MBPP, Benji Ang Ming Quan; Presiden GAPEIM, Dato’ Dr. Ameenul Hussaini; Timbalan Presiden GAPEIM, Munower Sadiq dan Pengerusi Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Haja Najmudeen Kader.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyatakan bahawa GAPEIM seumpamanya, merupakan sebuah organisasi yang begitu aktif dengan mengadakan pelbagai program sepanjang tahun untuk masyarakat setempat terutamanya bagi kumpulan B40 serta aktif memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini yang merangkumi aspek sosioekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

“Justeru, melalui penglibatan serta penyertaan aktif daripada semua kelompok seperti GAPEIM, ia membolehkan segala perancangan dan perincian berkaitan dasar serta inisiatif dapat dilaksanakan dengan jayanya,’’ jelasnya.

cd42f482 e431 46e0 b7c2 b09996b645dc

Selain daripada majlis berbuka puasa, turut diadakan adalah pemberian bakul makanan kepada 130 penerima yang terdiri daripada golongan B40, ibu tunggal dan asnaf yang keseluruhan bernilai RM15,600.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING