Sasar kitar semula 70 peratus menjelang 2030, kata Setiausaha Bandaraya MBSP

Admin
img 9103 ACARA gimik perasmian The Careton Project dan peletakan tong kitar semula pek kotak minuman di pusat membeli-belah Sunway Carnival Seberang Jaya di sini pada petang tadi (23 Mac 2024) dirasmikan oleh Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid.

SEBERANG JAYA – Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan menyasarkan kadar kitar semula mencapai 70 peratus menjelang tahun 2030.

fullsizerender
BADERUL Amin Abdul Hamid

Menurutnya, sasaran itu adalah berinspirasikan pada cara pengurusan sisa pepejal antara paling cekap dan efisien peringkat dunia di negara Singapura, iaitu mencapai 60 peratus kadar kitar semula dan hanya 2 peratus sisa domestik dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Sehubungan itu, beliau berkata MBSP akan mempergiat kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Syarikat Tetra Pak (M) Sdn. Bhd. (Tetra Pak) dan Nestle Milo UHT Malaysia (Nestle) untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan seperti aktiviti kempen kutipan kotak minuman untuk dikitar semula.

“MBSP tidak hanya boleh melaksanakan program atau projek kitar semula ini sendirian, tetapi apa yang diperlukan adalah kerjasama dan tanggungjawab bersama daripada semua pihak,” jelasnya semasa merasmikan The CAREton Project di pusat membeli-belah Sunway Carnival, Seberang Jaya di sini pada 23 Mac 2024.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut memuji inisiatif Tetra Pak dan Nestle menganjurkan pameran pendidikan berkaitan kempen kitar semula kotak minuman di Sunway Carnival.

“Tetra Pak dan Nestle Malaysia menyediakan baucer bernilai RM5.00 dan air kotak Milo UHT (200ml x 6 kotak) kepada 100 pengunjung pertama yang membawa 20 unit pek kotak minuman untuk dikitar semula.

“Bagi 100 pengunjung berikutnya yang membawa 20 unit pek kotak minuman untuk dikitar semula akan mendapat air kotak Milo UHT (200ml x 6 kotak),” jelasnya lagi.

fullsizerender
TERRYNZ Tan

Berucap sebelum itu, Pengarah Kelestarian Tetra Pak Wilayah ASEAN, Terrynz Tan memberitahu menerusi The CAREton Projek yang telah dianjurkan selama 12 tahun sejak 2012 di sini, pek kotak minuman yang boleh dikitar semula dapat dijadikan papan panel untuk bahan binaan rumah masyarakat Orang Asli, perabot dan gentian atap.

Bernard Cheen Goon Hooi dan Heng Yeh Shiuan merupakan antara Ahli Majlis MBSP yang turut serta acara kempen serta gimik perasmian peletakan tong kitar semula pek kotak minuman di pintu masuk utama barat pasar raya tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD