Penubuhan pusat dialisis CAT termurah

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri (KN) akan melancarkan inisiatif bersejarah dengan menubuhkan Pusat Dialisis CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) yang pertama di Pulau Pinang bagi memberikan rawatan kepada pesakit dengan harga RM30 bagi setiap dialisis.

Mengikut statistik, Pusat Dialisis di negeri Pulau Pinang yang diuruskan oleh swasta sebanyak 48% manakala 40% oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan kemudahan yang disediakan oleh KN ialah sebanyak 12%.

Sehingga April 2011, terdapat 45 buah pusat dialisis dan hanya 24 pusat sahaja yang beroperasi secara sah. Mengikut statistik pada tahun 2009, terdapat 1,804 pesakit buah pinggang di Pulau Pinang. Memandangkan bilangan pesakit buah pinggang semakin meningkat, enam pusat dialisis di Hospital Pulau Pinang dengan sebanyak 75 buah mesin yang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan sukar untuk memenuhi kehendak peningkatan tersebut,” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika majlis sidang media di Komtar, baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, KN telah mengenalpasti lokasi untuk memulakan projek perintis Pusat Dialisis CAT di Pejabat Pasar Awam Balik Pulau. Ia berhampiran perhentian bas (Rapid Penang) dan bangunan tersebut adalah milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). MPPP telah memberi persetujuan bagi menggunapakai ruang di belakang Pejabat Kutipan Hasil, Pejabat Pasar Awam Balik Pulau sebagai Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang dengan kadar sewaan nominal RM10.00 setahun.

Kawasan tersebut telah dipilih sebagai lokasi perintis kerana kedudukan yang strategik, kepadatan penduduk luar bandar yang tinggi dan pengangkutan awam yang baik. Pada masa yang sama, ini membuktikan komitmen KN Pakatan Rakyat kepada penduduk luar bandar dan menjaga kebajikan semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum, agama, jantina dan latar belakang politik.

Menurut Guan Eng, inisiatif itu akan dilaksanakan bersama pihak swasta berdasarkan konsep ‘Public and Private Partnership Framework’ (PPP) dengan pengubahsuaian bangunan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Kos perkhidmatan dialisis akan ditetapkan pada kadar RM110.00 berbanding kadar pasaran iaitu RM150 – RM200. Oleh itu KN akan memohon sumbangan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM50 di mana RM30 ditaja oleh KN dan RM30 lagi akan dibiayai oleh pesakit buah pinggang dengan rawatan sebanyak tiga kali seminggu.

Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sumbangan RM50 bagi setiap rawatan untuk pesakit di Pusat Rawatan Dialisis yang bukan berasaskan keuntungan. Untuk permulaan, dicadangkan disediakan 10 buah mesin hemodialisis (HD), sistem rawatan air ‘reverse osmosis’ (RO) dan ‘automatic reprocessor’ dengan suntikan dana atas usaha KN,” kata beliau lagi.

Kos setiap mesin HD dianggarkan RM42,000 yang memerlukan perbelanjaan RM420,000 yang ditanggung oleh pihak swasta dan KN. KN akan mendapatkan lesen daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dengan bantuan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurut Guan Eng lagi, KN dan pihak swasta akan menanggung kos utiliti dan sewaan premis dengan kos ubahsuai premis dianggarkan bernilai RM150,000 bagi menyediakan suasana rawatan yang kondusif dan piawaian rawatan bertaraf antarabangsa.

KN akan menanggung kos operasi bagi tempoh 10 tahun iaitu anggaran sebanyak RM2,046,720 sekiranya menaja hanya RM30 setiap rawatan untuk seramai 25 – 50 orang.