Penuhi ekspektasi pembayar cukai, MPSP perlu tingkatkan lagi mutu perkhidmatan selepas dinaik taraf kepada bandar raya

Admin

BERTAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) perlu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta menambah baik penyampaian projek-projek kepada pembayar cukai setelah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dinaik taraf kepada bandar raya tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu penting dalam memenuhi ekspektasi pembayar cukai yang turut meningkat seiring dengan perubahan tersebut.

“Penaiktarafan ini merupakan satu pengiktirafan kerana MPSP telahpun memenuhi syarat-syarat sebagai sebuah bandar raya.

“Walau bagaimanapun, perkara ini juga merupakan satu cabaran kerana ekspektasi pembayar cukai pasti akan meningkat kerana mereka akan tinggal di dalam sebuah bandar raya.

“Oleh itu, wajib bagi MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) yang diwujudkan kelak untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada pembayar cukai,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan hamper sempena Hari Raya Aidilfitri di sini sebentar tadi.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq; ADUN Teluk Air Tawar Mustafa Kamal Ahmad serta ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap agar kerajaan Persekutuan melalui pelbagai kementerian dapat meluluskan beberapa projek ekonomi, sosial dan kemasyarakatan untuk membantu Seberang Perai meningkatkan kemudahan-kemudahan serta infrastruktur selari dengan status bandar raya.

“Saya percaya penaiktarafan ini akan melibatkan perbelanjaan tambahan untuk memenuhi ekspektasi pembayar cukai, dan kita (Kerajaan Negeri) akan membantu apabila perlu, tetapi kita juga mengharapkan bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

“Justeru, terima kasih diucapkan kepada kerajaan Persekutuan kerana dalam satu masa yang singkat setelah permohonan dibuat pada tahun lepas MPSP sekarang diluluskan untuk dijadikan MBSP sepertimana diperoleh MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) pada tahun 2015,” ujarnya.

Terdahulu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan kabinet telah meluluskan permohonan MPSP untuk dinaik taraf kepada bandar raya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD