Kerajaan Negeri sedia ambil kira pandangan semua pihak dalam pelaksanaan PSR

Admin

BERTAM – Kerajaan Negeri bersedia untuk mengambil kira pandangan semua pihak dalam pelaksanaan Projek Tambak Laut Selatan Pulau (PSR) apabila ia diluluskan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri juga akan meneliti isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak berkaitan dan tindakan mitigasi akan dicadangkan untuk menangani perkara tersebut.

“Ini adalah proses berterusan dalam peringkat menunggu kelulusan, dan pertemuan dengan stakeholder juga telah dilakukan oleh Kerajan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) menjangkakan lebih banyak isu akan dibangkitkan setelah projek mendapat kelulusan serta dilaksanakan kelak.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga masih perlu mendengar pandangan masyarakat setempat berhubung gangguan yang mungkin berlaku apabila projek ini berjalan dan pasukan pelaksana perlu mengambil tindakan-tindakan sesuai untuk mengatasinya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan hamper sempena Hari Raya Aidilfitri di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang yang menyerahkan petisyen bantahan berkaitan projek PSR hari ini.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq; ADUN Teluk Air Tawar Mustafa Kamal Ahmad serta ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada kalangan nelayan untuk meneliti isu-isu berkaitan golongan itu termasuk penempatan, pampasan dan kemudahan-kemudahan baharu pada masa akan datang.

“Saya percaya ini adalah terkandung dalam syarat-syarat yang dikenakan apabila kelulusan EIA (Kajian Impak Alam Sekitar) diberikan termasuk tindakan untuk mitigasi serta untuk mengatasi masalah setempat.

“Dalam proses Penilaian Impak Sosial (SIA) pula, isu-isu ini turut akan diambil kira dan dimasukkan di dalam kajian tersebut serta dicadangkan penyelesaian-penyesaiannya,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD