Penularan HFMD, ADUN Jawi anjur ‘misi kebersihan’ di sekolah & prasekolah

Admin
方美铼与医护人员教学生以正确的方式洗手。

JAWI – Berikutan penularan wabak penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang semakin membimbangkan kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Moon Lye mengajurkan program khas kebersihan diri di beberapa buah sekolah rendah dan pra sekolah sekitar sini.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama hospital pakar swasta, Bagan Specialist Centre (BSC) itu turut menyelitkan elemen ceramah dan demonstrasi mengenai cara-cara mencuci tangan dengan betul sebagai langkah awal mengelakkan murid-murid daripada dijangkiti wabak berkenaan.

Menurut Moon Lye, melalui siri ceramah dan demonstrasi ini, murid-murid dan guru dapat meningkatkan pengetahuan berkaitan penyakit HFMD dan mempelajari kaedah terbaik kebersihan diri sekaligus dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti.

“Pagi ini sebanyak dua buah sekolah lagi di kawasan ini telah diarahkan tutup akibat penularan penyakit HFMD iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap dan Sekolah Kebangsaan Saujana Indah serta sebuah prasekolah di kawasan Nibong Tebal.

“Oleh itu, saya bersama-sama BSC menganjurkan program ini untuk memberi kesedaran dan menambahkan lagi pengetahuan murid-murid dan juga guru berkaitan penyakit ini dan bagaimana untuk mencegahnya,” ujarnya ketika berucap pada program berkaitan di Sekolah Kebangsaan Kelebang Jaya, dekat sini sebentar tadi.

Moon Lye menyerahkan topeng kepada guru dan murid-murid SK Kelebang Jaya sebagai langkah mengelakkan mereka dijangkiti wabak HFMD

Difahamkan, sebanyak 12 buah sekolah termasuk prasekolah akan terlibat dalam program berkenaan yang bermula hari ini.

Terdahulu, media melaporkan enam prasekolah di Pulau Pinang diarahkan tutup selama 10 hari bermula semalam berikutan penularan wabak HFMD.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melalui kenyataan akhbar menyatakan, selain prasekolah, 26 lagi premis melibatkan sekolah rendah, taska, tadika dan pusat jagaan di negeri ini masih ditutup sehingga hari ini.

Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan ia merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

Antara gejala penyakit itu adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS