Penunggang motosikal bertangan satu rentas tiga negara selama 24 jam tanpa henti, mengagumkan!

Admin

MACHANG BUBOK – Kudung sebelah tangan tidak menghalang Santana Dass Anthony menunggang motosikal berkuasa tinggi Yamaha R25 tanpa henti selama 24 jam dan sejauh 6,105 kilometer (km) merentasi Singapura, Malaysia, Thailand, Myanmar dan kembali ke garis penamat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubok pada 3.00 petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ong Jing Cheng hadir menyambut konvoi Santana Dass bersama-sama 11 penunggang lain di sini.

Ketika berucap, Khai Loon menzahirkan rasa kagum dengan Santana Dass dalam mencabar diri, sehingga berjaya diiktiraf sebagai Perjalanan Terpanjang Penunggang Motosikal Bertangan Satu (Persembahan Solo) dalam Malaysia Books of Records (MBOR).

Sementara itu, Santana Dass merakamkan penghargaan atas sumbangan Khai Loon dan tajaan syarikat aksesori motosikal ViviMoto.com dalam ekspedisi mencabar pada kali ini.

Katanya, pada 15 Julai depan, beliau akan cuba merakamkan rekod terbaru dalam MBOR iaitu Perjalanan Terpanjang Penungggang Orang Kurang Upaya (OKU) sejauh 150,000km ke London, England dan pulang ke tanah air ini, melalui 15 negara serta akan singgah di 30 buah sekolah OKU, yang dijangka sempurna pada 15 November 2019.

Acara pelepasan semalam, disempurnakan oleh Jing Cheng, sementara acara penamat oleh Khai Loon.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB