Jalan Bayan Lepas – Balik Pulau (Jalan Bukit Lama) dibuka sepenuhnya hari ini

PULAU  BETONG – Laluan FT006 Seksyen 28.40 Jalan Bayan Lepas – Balik Pulau (Jalan Bukit Lama) yang runtuh pada 23 Oktober 2018 kini dibuka sepenuhnya kepada kenderaan.

Majlis pembukaan semula disempurnakan  Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari petang tadi.

“Pada 24 Oktober tahun lepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya melaksanakan pelan tindakan muktamad melibatkan reka bentuk dan pembinaan semula  cerun berkenaan.

“Perkara ini telah dilaporkan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun dan Ibu Pejabat JKR Malaysia telah buat lawatan pada 24 Oktober 2018 seterusnya memohon peruntukan dari Kementerian Kerja Raya.

“Setelah peruntukan sebanyak RM1.3 juta diluluskan dan selesai melantik kontraktor, kerja-kerja pembaikan cerun dimulakan pada 29 November 2018 dan siap dua hari awal iaitu pada 26 April 2019,” ujar beliau  pada sidang media selepas  membuat lawatan ke kawasan terlibat hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim dan Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayidin.

Difahamkan kawasan terjejas berhampiran cerun tersebut adalah sepanjang 80 meter.

Mengulas mengenai pembaikan cerun di Jalan Tun Sardon (Jalan Bukit Baru), Zairil memberitahu projek tersebut akan dimulakan pada pertengahan Mei ini dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

“Projek di Jalan Tun Sardon bernilai RM7 juta dan ianya sedikit lewat kerana pembaikan di situ perlukan satu pengkhususan berkenaan cerun yang meliputi empat projek utama,” ujarnya yang juga ADUN Tanjung Bungah.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI