Penutupan jalan sempena penganjuran V-Malaysia 2019, 22-27 April

GEORGE TOWN – Laluan di Jalan Mahsuri (antara Jalan Tun Dr. Awang dan Persiaran Mahsuri) akan ditutup kepada semua jenis kenderaan pada 22 hingga 27 April ini sempena penganjuran V-Malaysia (V-CON) 2019.

Laluan yang ditutup pada 21 hingga 27 April ini.

Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin berkata, penutupan jalan berkenaan dijangka akan menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sepanjang program berlangsung.

“Laluan tersebut akan ditutup mulai jam 10:00 malam hingga 12:00 tengah malam (22 – 26 April) dan dari 2:00 hingga 4:00 petang (27 April).

“Justeru, orang ramai dinasihati supaya merancang perjalanan untuk ke lapangan terbang atau ke tempat kerja dengan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan,” katanya semasa sidang media, di sini sebentar tadi.

Kawasan parkir bagi bas-bas khas untuk delegasi.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Daerah Barat Daya, ASP Mohd. Zin Mat Ali menyeru kepada orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan lapangan terbang.

“Oleh itu, hanya beberapa buah bas sahaja akan dibenarkan memasuki kawasan lapangan terbang untuk menjemput peserta delegasi sepanjang tujuh hari program berlangsung.

“Bas selebihnya, akan diletakkan di kawasan Jalan Sultan Azlan Shah iaitu berdekatan Bangunan Star Media Group Berhad,” ujarnya.

Difahamkan, V-Malaysia 2019 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE dan Setia SPICE Arena dekat Bayan Lepas.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALISSALA THIAN