PIL1 bazir dana awam, Ketua Menteri sanggah dakwaan NGO

Admin

AIR PUTIH – RM7 bilion anggaran kos pemajuan Pan Island Link 1 (PIL1) sebenarnya tidak membazirkan dana awam, sebagaimana didakwa oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa tujuan pemajuan PIL1 adalah untuk menangani kesesakan trafik sehingga tahun 2035.

“Itu, komentar pertubuhan (NGO) itu sahaja, begitu banyak kajian dan kerja teknikal dilakukan oleh pelbagai perunding yang dilantik dalam projek (PIL1) ini.

“Tambahan pula apa-apa kerja perlu mematuhi syarat-syarat yang telahpun ditetapkan, maka, apabila siap (pintasan) lebuh raya ini, ia bukan suatu pembaziran.

“Sebaliknya, suatu projek yang amat diperlukan…pada ketika ini pun, kita telah menghadapi keadaan lalulintas yang begitu teruk, bayangkan kalau tidak ada projek ini, ianya akan mengakibatkan kehilangan yang besar kepada ekonomi Pulau Pinang.

“Kerana, kesesakan atas jalan raya tidak akan menambahkan produktiviti kita, sebaliknya menjejaskan produktiviti kita (iaitu) setiap pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media mempromosi Penang Hill Festival 2019 di puncak Bukit Bendera pada 16 April 2019.

Menurut Kon Yeow, pentadbiran akan mengedarkan salinan kenyataan ringkasan 56 syarat kelulusan EIA bagi projek PIL1, kepada pemegang taruh.

Pada 10 April lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA) PIL1 dengan 56 syarat yang mesti dipatuhi oleh Kerajaan Negeri.

Kon Yeow dalam sidang media pada 15 April menyatakan bahawa kerja-kerja tanah dijangka mengambil masa enam tahun, mulai bulan Julai 2020 hingga Jun 2026.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALVIE CHENG 

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD