Penyampaian perkhidmatan terbaik penentu prestasi sesebuah PBT – Exco

PANTAI JEREJAK – Penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti menjadi asas kejayaan dan prestasi cemerlang bagi sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sentiasa dekat dengan masyarakat.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian pada Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pusat Konvensyen Setia SPICE dekat sini pada 23 Ogos 2022.

 

Menurut Jagdeep, tugas yang digalas oleh semua PBT termasuk di negeri ini amat signifikan dan harus diteruskan.

 

Tugas kita masih belum selesai, meskipun kini kita berada dalam fasa endemik…banyak yang perlu kita harungi agar negeri serta rakyat di Pulau Pinang terus kekal selamat dan sihat sejajar dengan Visi Penang2030.

 

“Saya yakin dan percaya bahawa kita mampu melakukan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan harapan masyarakat di sini serta mencipta lebih banyak pencapaian dan mengekalkan prestasi terbaik,” ujarnya yang mengakui bukan suatu tugas mudah untuk digalas oleh semua petugas dan anggota PBT.

 

JAGDEEP Singh Deo (barisan hadapan, kemeja putih) bergambar kenangan bersama-sama sebahagian penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan pesara pada majlis berkaitan di sini.

 

Mengimbau kembali saat seluruh dunia dilanda bencana kesihatan sebelum ini, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya dan Kerajaan Negeri tidak pernah lupa titik keringat wira-wira serta petugas barisan hadapan.

 

“Sepanjang pandemik, wira-wira barisan hadapan di kedua-dua PBT (termasuk di Seberang Perai) bertungkus – lumus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis seperti pasar awam dan kompleks penjaja.

 

“Walaupun kini telah memasuki fasa endemik, kita semua harus berwaspada kerana telah ada jangkitan-jangkitan lain yang kita harapkan tidak menjadi suatu musibah.

 

Oleh itu, bagi mengiktiraf dan menghargai jasa wira-wira kita, Kerajaan Negeri telah menyalurkan insentif berjumlah RM100,000 (masing-masing RM50,000) kepada kedua-dua PBT negeri.

 

“Malah, wira-wira kita juga menerima penganugerahan daripada Yang Dipertua Negeri baru-baru atas sumbangan tidak berbelah-bahagi kepada masyarakat,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada TYT Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

 

Dalam pada itu, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang ketika menyampaikan ucapan alu-aluan memberitahu bahawa sebagai salah satu PBT negeri, semua warga MBPP perlu peka untuk melakukan pembaharuan dalam perkhidmatan kepada rakyat selari dengan revolusi persekitaran.

 

“Kunci kejayaan adalah kerana pegangan kita iaitu ‘satu pasukan, satu misi’ dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan semua warga MBPP.

 

Ekspektasi masyarakat semakin tinggi dan kita (MBPP) perlu memberi perkhidmatan terbaik agar lebih responsif, relevan dan memenuhi harapan pemegang taruh.

 

“Banyak pencapaian yang telah kita capai sama ada pada peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa…tahniah dan terima kasih kepada semua warga MBPP atas semangat berpasukan yang tinggi dalam memastikan MBPP terus mengecapi kejayaan demi kejayaan.

 

Semoga pengiktirafan yang diberikan hari ini dapat menyuntik semangat dan mencetus inspirasi dalam kalangan semua warga MBPP untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada organisasi dan masyarakat.

 

“(Dan) kepada pesara, saya berharap semua berada dalam keadaan sihat, teruskan menyumbang bakti kepada masyarakat kerana persaraan tidak bermakna sumbangan kita telah berakhir,” jelasnya.

 

Terdahulu, Jagdeep yang ditemani Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan persaraan kepada 89 individu serta sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2021 kepada 231 anggota PBT itu.

 

Hadir sama, barisan Ahli Majlis dan Ketua Jabatan PBT berkenaan.

 

Difahamkan, penerima APC turut menerima ganjaran tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang dan RM400 kepada pesara.

 

Sementara itu, Shaibullah Abdul Kader, 62, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan oleh MBPP kepadanya.

 

“Saya telah bersara setahun setengah dan kini tidak melakukan apa-apa pekerjaan, cuma perasaan rindu nak berkhidmat masih ada dalam diri dan menjadi kenangan untuk saya,” katanya sebagai pembuka bicara.

 

SHAIBULLAH Abdul Kader (dua dari kanan) bersama-sama rakan beliau pada majlis berkaitan.

 

Shaibullah yang telah berkhidmat dengan MBPP sejak tahun 1979 (sebelum ini Majlis Perbandaran Pulau Pinang) turut berkongsi pengalaman semasa bertugas antaranya ketika berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) yang mana beliau terjatuh ke dalam longkang dan mengalami kecederaan selain meredah ke dalam longkang untuk melakukan kerja pembersihan.

 

Malah, beliau turut berkongsi pengalaman dan perasaan tatkala mengikuti operasi kebersihan di bawah Jabatan Pelesenan di premis-premis perniagaan berasaskan makanan dan minuman sekitar George Town.

 

Dulu saya masuk MBPP sebagai attendan parkir dengan gaji cuma RM250 sahaja dan kemudian berkhidmat pula di JPP sebelum berkhidmat di Jabatan Pelesenan.

 

“Banyak kenangan kalau nak kongsi ada yang manis ada yang pahit, jumpa dengan macam-macam karenah orang dan hadapi pelbagai tekanan tetapi yang paling utama adalah sabar.

 

“Selain sabar, sebagai anggota PBT kita juga perlu sentiasa amanah dan hadir ke tempat kerja tepat waktu, jangan ponteng…itulah sikap yang perlu diterapkan dalam tempoh perkhidmatan, tidak kira di mana pun,” katanya yang merupakan bekas Pembantu Kesihatan Awam.

 

Seorang lagi pesara yang sempat Buletin Mutiara temui ialah A. Maniam, 62, yang berkhidmat di Jabatan Landskap sejak 1980.

 

“Dahulu, kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja di Jabatan Landskap adalah sukar dan mencabar kerana tiada peralatan moden seperti yang ada kini. 

 

“Sekarang ini senang kerana telah ada peralatan moden termasuk kren yang digunakan untuk potong pokok.

 

Saya dulu panjat pokok dengan hanya menggunakan tali dan membawa kapak atau gergaji untuk memangkas atau potong pokok.

 

“Selama hampir 30 tahun saya berkhidmat sebagai pekerja kasar sebelum menjadi mandor selama 14 tahun,” ceritanya yang merupakan bekas Pembantu Am.

 

Selepas bersara, beliau kini masih berkhidmat secara kontrak tahunan dengan jabatan sama.

 

Syukur kerana masih sihat dan masih boleh berkhidmat.

 

“Saya akan terus berkhidmat selagi boleh, lagipun sudah terbiasa kerja selama lebih 40 tahun jadi susah nak berhenti dan tak melakukan apa-apa. Lagipun apabila kerja, dapat jumpa kawan-kawan juga,” selorohnya.

 

Ditanya apakah rahsia dapat bertahan lama di MBPP dengan nada sederhana beliau memberitahu bahawa sabar menjadi asas untuk berkhidmat lama.

 

“Selain itu, ikut arahan tugasan yang diberikan demi melancarkan kerja semua,” kata bapa kepada tiga anak ini. 

 

Bagi Leong Lai Yeng, 61, yang bersara tahun lepas setelah berkhidmat selama 41 tahun, salah satu rahsia untuk kekal berkhidmat adalah minat.

 

Jika kita melakukan apa-apa juga pekerjaan perlu ada minat.

 

“Saya mengikut jejak langkah bapa saya untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada usia saya 19 tahun.

 

“(Dan) setelah lebih 40 tahun, saya masih rasa teruja melakukan kerja walaupun sedikit terkilan kerana telah bersara ketika saya rasa saya berada di kemuncak kerjaya,” jelasnya yang merupakan bekas Penolong Jurutera Tinggi di Jabatan Kejuruteraan MBPP.

 

A. Maniam (kiri) dan Leong Lai Yeng menunjukkan sijil penghargaan masing-masing.

 

Berkongsi mengenai pengalaman paling memberi kesan semasa berkhidmat, Lai Yeng berkata ketika terlibat sama dalam projek tebatan banjir di Jalan Transfer beberapa tahun lalu.

 

“Projek tersebut adalah antara projek terbesar yang saya terlibat selain daripada memberi kelulusan untuk sijil penyiapan dan pematuhan serta khidmat rundingan.

 

“Segalanya amat berbaloi sehingga kini,” katanya teruja.

 

Selain Shaibullah, Maniam dan Lai Leng, dua lagi pesara iaitu M. Ganesan dan K. Virayah kedua-duanya merupakan bekas Pembantu Awam yang juga telah berkhidmat lebih 40 tahun dan diraikan dalam majlis sama.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD