Penyertaan bertambah, nobat kejohanan catur antarabangsa terbesar

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

 

PANTAI JEREJAK – Seramai 300 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam kejohanan catur terbesar di Malaysia, 6th Penang Heritage City International Chess Open 2014 yang berlangsung di negeri ini baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan syarikat minyak dan gas, Wah Seong Corporation Berhad tersebut berjaya menggamit penyertaan dari 19 buah negara termasuk Sepanyol, New Zealand, Mongolia, Macedonia, Uzbekistan, Estonia, Croatia, Finland, England, China, Filipina, Singapura, India, Sri Lanka, Jepun, Thailand, Australia dan Indonesia.

Antara nama-nama besar yang turut tersenarai dalam kejohanan berkenaan ialah Susanto Megaranto dari Indonesia (gelaran Grand Master – GM), Buenaventura Villamayor dari Filipina (GM), Srinath Narayanan dari India (gelaran International Master – IM) dan Enrique Paciencua dari Singapura (IM).

Bagi pemain tempatan, nama-nama seperti Nur Najiha Azman Hisham dan Tan Li Ting yang memegang gelaran Women FIDE Master (WFM) oleh Badan Catur Dunia (FIDE) turut bersaing dalam kejohanan menggunakan Sistem Swiss dengan sembilan pusingan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan tahun ini iaitu Terbuka dan Saingan.

Menurut Presiden PCA, Lee Ewe Ghee, kejohanan tersebut merupakan suatu kejayaan besar memandangkan jumlah penyertaan bertambah berbanding tahun lalu iaitu 278 pemain.

“Sejak lima tahun penganjuran kejohanan, kali ini, jumlah peserta bertambah dan menjadikan ianya kejohanan catur antarabangsa terbesar yang pernah diadakan di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang hadir merasmikan kejohanan tersebut berharap semua peserta dapat meluangkan masa menikmati keindahan dan keunikan di sekitar George Town.