Peningkatan cukai taksiran kadar marginal, elak beban pembayar

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : KOAY SHIANN HUAH

 

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa terdapat sedikit peningkatan berhubung kadar cukai taksiran membabitkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi tahun 2015.

Katanya, Kerajaan Negeri memutuskan untuk hanya meningkatkan kadar secara marginal cukai (taksiran) kerana tidak ingin membebankan para pembayar.

“Kedua-dua PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran sejak 2005. Sebelum ini, ia disemak serta dikaji pada setiap lima tahun.

“Malah, Kerajaan Negeri sebelum ini telah beberapa kali menolak cadangan penyemakan senarai nilaian walaupun ianya dibenarkan mengikut undangundang melalui peruntukan Seksyen 137 (3) Akta Kerajaan Tempatan,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Menurut Kon Yeow, melalui peningkatan tersebut, MPPP dijangka dapat menambah pendapatan kepada RM180.9 juta berbanding RM160.438 juta pada tahun ini (2014).

“Bagi MPSP, dijangka dapat menambah pendapatan sebanyak RM20.49 juta menjadikan RM158.2 juta tahun hadapan berbanding tahun ini (RM137.7 juta),’’ jelasnya.

Beliau memberitahu , peningkatan tersebut adalah perlu bagi menambah pendapatan tambahan bagi kedua-dua Majlis terutamanya bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.

“Peningkatan ini bakal menampung kos operasi yang lebih tinggi dengan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Kita dapat melaksanakan projek-projek pembangunan yang perlu seperti meningkatkan kemudahan asas sedia ada,” ujar Kon Yeow.