Penyertaan PIHEC meningkat saban tahun

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Penganjuran tahun ketiga, ‘Penang International Halal Expo and Conference 2012’ (PIHEC) bakal diadakan pada 24 Februari sehingga 26 Februari ini di Penang International Sports Arena (PISA) dengan penglibatan lebih daripada 200 pempamer yang terdiri daripada pengusaha halal pelbagai produk serta perkhidmatan dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim yang juga merangkap Penasihat Halal Penang berkata, PIHEC merupakan acara tahunan yang dijalankan sejak tahun 2010 lagi.

“Penganjuran (PIHEC) tahun ini akan memfokuskan kepada produk kesihatan, kosmetik, rempah-ratus dan makanan laut yang juga merupakan salah satu produk terpenting di Pulau Pinang.

“Pada masa sama, PIHEC 2012 juga akan membuka tirai kepada delegasi tempatan mahupun antarabangsa dalam menjana pelbagai prospek dan mencambah potensi dalam industri halal tempatan supaya dapat dikembangkan lagi ke peringkat global,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini baru-baru ini.

Abdul Malik menambah bahawa saban tahun, terdapat peningkatan dalam penyertaan dan penganjuran kali ini bakal membabitkan penglibatan beberapa buah negara antaranya Rusia, United Kingdom, Brunei, Singapura, Pakistan, China dan Iran.

Selain ekspo, turut diadakan adalah persidangan sehari pada 25 Februari di Hotel Eastin bertemakan ‘Emerging Concerns of the Global Personal Care and Cosmetic Industry’ yang mensasarkan penyertaan daripada para pengamal akademik dan penyelidik dalam bidang farmaseutikal, farmasi, kesihatan dan kecantikan.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Halal Penang di talian 04-262 5444 atau layari laman sesawang http://www.halalpenang.com/.