Usahawan kecil dibantu Kerajaan Negeri

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

PARA peserta sedang mengisi borang PTSR hasil inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu peniaga-peniaga kecil tempatan.
PARA peserta sedang mengisi borang PTSR hasil inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu peniaga-peniaga kecil tempatan.

TANJUNG BUNGAH – Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang diwujudkan dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi peluang kepada peniaga atau penjaja kecil memulakan perniagaan mereka dengan skim pinjaman mudah yang ditawarkan.

PTSR bertujuan memberi satu sistem pelaburan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini.

Malah, ia juga dapat memberi motivasi kepada setiap peniaga supaya mengubah diri menjadi seorang yang berjaya kelak.

Menurut Penasihat PTSR, Mohd. Sayuti Hassan, pihaknya akan cuba meluluskan pinjaman secepat mungkin kepada setiap permohonan bagi meringankan beban dan memudahkan urusan para peniaga baru mahupun yang sudah berpengalaman.

Skim pinjaman PTSR terbahagi kepada dua jenis iaitu 50 minggu (RM500-RM5,000) dan 100 minggu (RM500-RM5,000). Peniaga wajib membuat tabungan setiap minggu dan akan sentiasa dipantau oleh pegawai yang terlibat bagi memastikan pengurusan berjalan lancar.

Bagi peniaga yang membuat pinjaman pertama kali, tiada caj perkhidmatan dikenakan, manakala caj perkhidmatan sebanyak lapan peratus akan dikenakan kepada peminjam kedua dan seterusnya.

Bagi memudahkan peniaga, bayaran balik pinjaman akan dikutip oleh pegawai-pegawai PDC yang terlibat setiap minggu di premis perniagaan masing-masing.

Peniaga juga mendapat keistimewaan dengan diberi perlindungan insuran takaful di samping beberapa perkhidmatan yang ditawarkan iaitu khidmat anak cemerlang, khidmat pengurusan perniagaan dan pinjaman jangka panjang.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Pejabat PTSR, PDC di talian 04-6340111.

Syarat-syarat kelayakan bagi pemohon skim PTSR :
• Warganegara Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun.
• Memiliki tempat perniagaan.
• Mempunyai lesen perniagaan (SSM) yang masih hidup.
• Rekod pinjaman terdahulu bersih (bagi peminjam kedua dan seterusnya).
• Satu pinjaman sahaja dalam skim PTSR, satu isi rumah, seorang rakan kongsi dalam perniagaan kongsi.