Penyusuan bayi, perlu sokongan semua pihak

Oleh: A INUL WARDAH SOHILLI

PERMATANG PAUH – Tiada sesiapapun dapat menyangkal kehebatan susu ibu, sama ada kepada bayi mahupun sang ibu, walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekangan untuk terus menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan pertama kelahiran atau dilangsungkan sehingga tempoh 24 bulan,” jelas Dr. Shima Jamal yang hadir menjayakan Projek The Big Latch On 2013 baru-baru ini.

Antara kekangan yang sering dihadapi adalah ibu tidak mendapat secukup maklumat mengenai penyusuan, kehadiran susu formula yang memudahkan penyusuan serta persekitaran yang tidak kondusif.

Tambah Dr. Shima lagi, kajian membuktikan lebih dua juta kematian membabitkan kanak-kanak berusia sebulan sehingga kurang usia lima tahun, boleh dielakkan apabila penyusuan secara eksklusif diteruskan.

Justeru, sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2013, Kumpulan Pembimbing Ibu Menyusu Utara Malaysia merangka programprogram dalam usaha menjadikan penyusuan terus relevan dan dipraktikkan tanpa batasan lokasi mahupun masa.

“Ibu bekerjaya juga mampu menyusu bayi mereka secara eksklusif kerana berkerja bukanlah alasan untuk tidak menyusukan permata hati.

“Waima, apa jua kerjapun, jika ibu mahu semuanya pasti boleh diusahakan,” jelas Dr. Shima lagi.

Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai strategi bagi membantu ibu-ibu yang berkerjaya faham mengenai penyusuan.

Antaranya mengadakan bilik atau ruangan untuk penyusuan di pejabat-pejabat kerajaan dan menjalankan program-program kesedaran mengenai kehebatan penyusuan dan susu ibu.

“Strategi serta program-program yang berterusan ini telah memperlihatkan perkembangan yang positif antaranya jumlah ibu yang terlibat dengan penyusuan eksklusif meningkat saban tahun.

“Pun begitu kejayaan penyusuan ini tidak boleh bergantung sepenuhnya di bahu ibu sebaliknya suami, ahli keluarga, majikan dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada ibu untuk terus menyusukan bayi mereka secara eksklusif,” jelas Dr. Shima yang turut menyampaikan syarahan ‘Working & Breastfeeding, How to Make it Works?, dekat sini barubaru ini.

Acara kemuncak pada hari tersebut ialah penyusuan secara serentak yang disertai oleh 17 ibu-ibu. (Untuk rekod penuh layari http://www.biglatchon,org//.)