Perai ke arah bandar hijau

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berharap penduduk di sekitar sini dapat sama- sama melakukan perubahan di kawasan tersebut bersempena dengan perasmian Program Penghijauan Perai di sini baru-baru ini.

Ramasamy berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut amat bersejarah bagi Perai kerana proses penghijauan kawasan ini sedang dimulakan sejajar dengan moto Kerajaan Negeri.

“Saya harap penduduk Perai dapat menjadi warganegara yang bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan tanpa terlalu bergantung kepada khidmat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Meskipun memang sudah menjadi tugas MPSP menjaga kebersihan di sini, namun reformasi minda juga amat diperlukan kerana penjagaan kebersihan adalah tanggungjawab bersama bermula dengan setiap diri penduduk,” katanya di sini.

Tambah beliau, program tersebut haruslah dijadikan titik permulaan untuk mengubah perspektif masyarakat dalam menjaga kebersihan dan kesihatan di negeri ini supaya matlamat projek penghijauan dapat dicapai.

Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod dan dua Ahli Majlis MPSP, M. Satees dan P. David Marshel.

Sebagai simbolik majlis perasmian program, Ramasamy dan Rosnani turut menyampaikan anak-anak pokok kepada persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) serta melepaskan anak-anak ikan.

Turut diadakan adalah pameran gerai informasi MPSP, pameran kesihatan dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Menurut Rosnani, program penghijauan tersebut merupakan langkah ekstensif MPSP bagi tujuan penghijauan dan pembersihan di seluruh kawasan Seberang Perai.

“Melalui aktiviti seperti kitar semula, urban farming, zero waste dan composting, MPSP komited mempromosikan amalan kebersihan dan kesihatan kepada penduduk Seberang Perai, pengusaha makanan dan kilang-kilang.

“Walaupun MPSP banyak menganjurkan program kebersihan, tetapi ia tidak akan berjaya jika hanya dijalankan secara bermusim sahaja,’’ tegas beliau.