Peranan KRT penting, erat perpaduan komuniti setempat

Admin
img 8099

JAWI – Semangat perpaduan terus diperkukuh apabila Program Ikatan Syawal anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berjaya menghimpunkan komuniti setempat di Dataran Sungai Kechil baru-baru ini.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, KRT memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat setempat khususnya dalam menyampaikan maklumat serta memahami keperluan komuniti pada peringkat akar umbi.

“KRT memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ Kerajaan Negeri dalam menyalurkan pandangan rakyat, di samping menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti dengan pihak berkuasa.

“Saya juga amat menghargai semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh ahli-ahli KRT dalam menjayakan program seperti ini, dan berharap lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dapat dilaksanakan bagi memperkukuh perpaduan serta melayakkan KRT di sini diangkat sebagai KRT Progresif,” katanya.

img 8100 img 8098 img 8101
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Ikatan Syawal dekat sini pada 11 April 2026.

Hadir sama, Pegawai Perpaduan Daerah SPS, Mohd. Fahmi Ibrahim; barisan Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta ahli-ahli KRT seluruh daerah.

Dalam pada itu, Choon Aik memuji komitmen serta kerjasama erat dalam kalangan ahli KRT yang menjadi tunjang kejayaan penganjuran program berkenaan.

“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan ini jelas membuktikan bahawa KRT bukan sekadar platform kejiranan, tetapi merupakan nadi penting dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan harmoni.

“Saya yakin dengan semangat yang ada, KRT di daerah ini mampu terus melakar lebih banyak kejayaan serta menjadi contoh kepada komuniti lain,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun.

Sementara itu, Mohd .Fahmi berkata, komitmen dan semangat sukarela yang ditunjukkan membuktikan KRT terus relevan sebagai jentera perpaduan pada peringkat akar umbi.

“Komitmen dan semangat sukarela yang dipamerkan oleh ahli KRT hari ini menunjukkan bahawa peranan mereka masih sangat relevan dalam memperkukuh perpaduan komuniti setempat.

“Justeru, program seperti ini bukan sahaja mampu mengeratkan silaturahim, bahkan juga menjadi platform penting untuk menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : KRT SPS