Percepatkan imunisasi ‘economic frontliners’, tegas Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan akan terus meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terhadap barisan hadapan ekonomi (economic frontliners) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sidang media tengah hari tadi menyatakan bahawa dalam mesyuarat gerak kerja khas berkaitan jangkitan membabitkan sektor perkilangan semalam, turut membangkitkan isu peri penting barisan hadapan ekonomi berkenaan.

Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi tersebut lagi, beliau turut menggesa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan pihak-pihak berkaitan supaya memberi lebih perhatian terhadap ‘kluster kilang’.

“Laporan terkini adalah satu mesyuarat gerak kerja telah diadakan antara Kerajaan Negeri dengan agensi-agensi berkaitan seperti MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Jabatan Tenaga Kerja, JKNPP, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melihat ‘kluster industri’ yang kita ingin beri perhatian (sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan).

“Mesyuarat yang berlangsung semalam saya percaya adalah untuk melihat usaha-usaha bagi menangani ‘kluster kilang’ daripada mencatatkan lebih banyak kes (harian baharu).

“Dalam mesyuarat, memang kita (Kerajaan Negeri) menegaskan perkara ini (namun) kita masih belum mendapat pengumuman lanjut mengenainya,” tegasnya di Komtar pada 14 April 2021.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut sertai sidang media tersebut.

Menurut Kon Yeow, ketika ini, kes positif COVID-19 harian di Pulau Pinang secara purata dalam koridor 120 hingga 150 laporan dengan melibatkan 12 kluster aktif iaitu 10 ‘kluster kilang’, kluster pendidikan (1) dan kluster depo tahanan (1).

Semasa ini juga, tambah beliau, di Pulau Pinang menyaksikan seramai 105,066 pekerja bukan warganegara telahpun membuat ujian saringan berwajib sama ada menerusi Program Saringan Prihatin (PSP) yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau sebaliknya.

“Ketika ini, seramai 70 peratus pekerja bukan warganegara dalam sektor perindustrian negeri telahpun membuat pemeriksaan saringan, dan 4.18 peratus atau 4,352 individu telahpun dikenal pasti positif COVID-19,’’ ulasnya.

Serentak itu, Kon Yeow turut mengumumkan bahawa sehingga 12 April 2021 seramai 597,850 orang atau 43 peratus penduduk negeri telahpun mendaftar diri sebagai penerima vaksin manakala barisan hadapan yang menerima dos suntikan pertama adalah berjumlah 36,982 orang dan dos kedua (29,334).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD