Pergiatkan lagi aktiviti sosial demi kepentingan komuniti setempat – saran Ketua Menteri

KEBUN BUNGA – Aktiviti sosial dan rekreasi wajar dipergiatkan lagi demi kepentingan serta keperluan komuniti setempat khususnya di kawasan Padang Tembak yang mempunyai lebih 10,000 penduduk.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa aktiviti seumpamanya amat penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sihat dan aktif.

“Di sini terdapat sembilan flat dengan lebih 3,000 unit rumah dan melebihi 10,000 penduduk yang mana kebanyakannya adalah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan warga emas.

“Justeru, adalah wajar aktiviti sosial dan juga rekreasi dipergiatkan lagi demi kepentingan serta keperluan komuniti setempat secara keseluruhan terutamanya ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang sihat dan juga penuaan aktif kepada golongan warga emas,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga dan Jamuan Sempena Sambutan Hari Deepavali dekat Rumah Pangsa Padang Tembak, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, tuan rumah, ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Penghulu Kawasan Kebun Bunga, Nur Afnan Zakaria serta ramai lagi.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memuji usaha ADUN Kebun Bunga yang telah mewujudkan pusat khidmat kedua bagi kawasan berkaitan.

“Saya difahamkan, setelah mengambil kira faktor demografi unik Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga ini, Pusat Khidmat ADUN yang dirasmikan hari ini di sini merupakan lokasi kedua selain di Mount Erskine.

“KADUN Kebun Bunga mempunyai 24,532 pengundi dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, saudara Boon Heng menang dengan majoriti 12,955 undi.

“Ini adalah satu keputusan yang memberangsangkan dan menjadi harapan besar saya agar YB Boon Heng dapat terjemahkan kemenangan tersebut dengan memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk di sini.

“Justeru, syabas dan tahniah saya ucapkan atas inisiatif mewujudkan pusat khidmat ini yang mana saya sifatkan sebagai institusi penting yang menghubungkan rakyat dan kerajaan dengan lebih berkesan,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Boon Heng berkata bahawa penubuhan pusat khidmat kedua dibuat setelah mengambil kira jumlah penduduk di KADUN Kebun Bunga yang agak padat.

“Objektif penubuhan pusat khidmat kedua ini adalah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih sempurna kepada penduduk sini,” ujarnya ringkas.

Pada majlis tersebut, seramai 100 keluarga terpilih di kawasan Padang Tembak menerima sumbangan khas dalam bentuk makanan sempena sambutan Hari Deepavali yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD