Perhatian khusus kepada Pulau Pinang dialu-alukan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan berhubung perhatian khusus yang bakal diberikan kepada Pulau Pinang dan empat negeri lain berhubung kelengkapan peralatan perubatan serta sumber tenaga berkepakaran dalam menangani lonjakan kes COVID-19 kini.

 

 

Menurut beliau, kepentingan bantuan tersebut bukan hanya daripada segi peralatan, malah tenaga seperti doktor dan jururawat adalah perlu dan dialu-alukan dalam membantu lima negeri terlibat khususnya Pulau Pinang.

 

 

“Kita masih ingat pada satu ketika, apabila negeri Pulau Pinang dalam keadaan yang lebih ‘selesa’, Pulau Pinang dan lain-lain negeri menghantar bantuan ke Lembah Klang… ketika itu Lembah Klang menghadapi cabaran yang amat genting.

 

 

“Justeru, hari ini kita (Pulau Pinang) memerlukan bantuan yang serupa, dan berharap Menteri Kesihatan dapat menghantar bantuan-bantuan ini pada kadar segera bagi memberi rawatan segera kepada pesakit yang memerlukan dan seterusnya mengurangkan kes-kes kematian akibat COVID-19 di sini,” ujarnya sejurus menerima sumbangan bernilai RM294,400 berupa kepelbagaian peralatan rawatan daripada syarikat Greatech Group kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) sebentar tadi.

 

Hadir sama, Pengarah HPP, Datuk Dr. Teo Gim San; Ketua Jabatan Anaestesiologi, Datuk Dr. Yong Chow Yen; Pengerusi Lembaga Pengarah Greatech Group, Ooi Hooi Kiang dan Ketua Pegawai Kewangan Greatech Group, Koay Lin Lin.

 

 

Difahamkan, sumbangan berkaitan akan ditempatkan di Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) yang kini berfungsi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyambut baik jaminan bekalan vaksin bagi bulan September ini ke negeri ini.

 

 

“Diperuntukkan 1 juta dos yang bakal diterima Pulau Pinang pada bulan September ini, dengan vaksin ini, kita akan dapat capai 100 peratus dos pertama dalam bulan ini.

 

 

“Manakala, bagi dos kedua vaksinasi penuh, hari ini, saya jangka kita akan capai 60 peratus daripada populasi dewasa bakal menerimanya atau lengkap divaksinasi,’’ ulasnya yang juga Exco bagi Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI