Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): ADUN serah bantuan keperluan harian kepada penduduk

Admin

 

PADANG LALANG – Seramai 80 orang penduduk dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang menerima bantuan barangan keperluan harian baru-baru ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 14 April ini.

Sumbangan telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung terlibat dalam satu lawatan singkat ke beberapa kawasan perumahan sekitar.

Chong Eng berkata, lawatan tersebut adalah bertujuan untuk melihat sendiri keadaan penduduk setempat semasa PKP berkuat kuasa.

“Disamping itu, sebanyak 16 keping baucer bernilai RM 50.00 turut diedarkan kepada penduduk bagi menampung kos sara hidup dalam situasi yang mencabar ini.

“Sehingga ke hari ini, pejabat KADUN Padang Lalang masih menerima panggilan telefon daripada penduduk setempat yang ingin memohon agar bantuan turut diberikan kepada mereka.

“Penduduk tidak perlu khuatir kerana kami akan sentiasa memaklumkan kepada anda mengenai pemberian bantuan selepas ini dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam menyeru penduduk untuk kekal berada di rumah sehingga PKP tamat.

Terdahulu, Chong Eng turut menyerahkan pensanitasi tangan (hand sanitizer) kepada 110 orang kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak COVID 19.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: ADUN