Perkasa intervensi kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam -Exco

page 7 top

SERAMAI 55,169 penjawat awam yang menjalani saringan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) dilaporkan berisiko tinggi, termasuk membabitkan aspek kecenderungan tingkah laku bunuh diri.

 

Dapatan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd. Bakhari Ismail ketika membacakan teks ucapan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada Majlis Perasmian Persidangan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam Tahun 2026 (PSYCON 2026) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada 21 September lalu.

 

Menurutnya, dapatan berkenaan menunjukkan aspek kesejahteraan psikologi perlu diberikan perhatian secara menyeluruh, termasuk intervensi terhadap masalah sedia ada, pendekatan pencegahan dan pembinaan daya tahan individu.

Tegasnya, dalam konteks perkhidmatan awam, ketua jabatan perlu menyediakan sistem sokongan sewajarnya bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja yang menjadi aset penting negara.

Mengulas perkembangan tersebut, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, DANIEL GOOI ZI SEN berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah turut mempengaruhi kesejahteraan di tempat kerja serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dapatan saringan MyPsyD pada peringkat nasional menunjukkan pentingnya pengesanan awal dan intervensi yang bersesuaian, namun saringan ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk pelabelan.

“Pegawai yang dikenal pasti berisiko perlu melalui proses validasi bagi menentukan tahap risiko serta tindakan selanjutnya,” ujarnya ketika dihubungi wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI baru-baru ini.

Menurut Zi Sen, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Kesihatan Mental Pulau Pinang pada November 2023, yang melibatkan agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyelaras usaha menangani isu kesihatan mental.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agensi kerajaan dan NGO bagi memperkukuh perkongsian sumber serta kepakaran dan meningkatkan akses kepada sokongan serta perkhidmatan kesihatan mental, termasuk dalam kalangan penjawat awam.

Intervensi dan rujukan

Bagi penjawat awam yang dikenal pasti berisiko tinggi melalui MyPsyD, Zi Sen berkata, mekanisme intervensi dan rujukan telah disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama KKM.

Selepas proses validasi, pegawai yang berisiko tinggi tetapi berada dalam keadaan stabil boleh dirujuk ke Klinik Kesihatan KKM untuk penilaian dan rawatan lanjut.

“Sekiranya seseorang pegawai dikenal pasti berada dalam keadaan krisis, rujukan akan dibuat terus ke hospital berdekatan untuk penilaian dan rawatan segera,” jelasnya.

Menurutnya, intervensi turut melibatkan sesi kaunseling atau psikoterapi serta tindakan susulan mengikut keperluan pegawai.

“Pada peringkat negeri, kita akan terus menyokong pelaksanaan mekanisme ini dan memperkukuhkan kerjasama antara jabatan supaya pegawai yang memerlukan bantuan dapat dibantu seawal mungkin,” katanya.

Tambah beliau, perkara paling penting adalah memastikan proses berkenaan tidak terhenti setakat saringan sahaja, sebaliknya pegawai yang memerlukan bantuan mendapat akses kepada penilaian, rawatan dan sokongan secara berterusan.

KKM turut menyediakan Talian HEAL 15555, yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM dan beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum, bagi individu yang memerlukan sokongan emosi dan psikososial.

“Selain itu, perkhidmatan kesihatan mental berasaskan komuniti turut disediakan melalui MENTARI, termasuk dua pusat di Pulau Pinang iaitu MENTARI Butterworth dan MENTARI Pulau Pinang (Daerah Timur Laut) di Jalan Perak,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Zi Sen menegaskan bahawa aspek kerahsiaan maklumat pegawai perlu sentiasa dijaga, manakala stigma di tempat kerja perlu dikurangkan.

“Mendapatkan bantuan berkaitan kesihatan mental adalah sebahagian daripada penjagaan kesihatan dan tidak seharusnya menyebabkan seseorang dilabel atau dipandang negatif,” katanya.

Wujud persekitaran kerja prihatin

Sehubungan itu, beliau menyeru semua penjawat awam di Pulau Pinang supaya tidak memendam tekanan yang dihadapi dan mendapatkan bantuan serta sokongan seawal mungkin.

Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal.

“Sekiranya tekanan yang dihadapi semakin sukar dikendalikan, jangan pendam atau hadapinya seorang diri.

“Dapatkan bantuan dan sokongan seawal mungkin,” katanya.

Pada masa sama, Zi Sen turut menyeru ketua jabatan, penyelia dan rakan sekerja supaya bersama-sama mewujudkan persekitaran kerja yang prihatin, saling menyokong dan bebas stigma terhadap mereka yang mendapatkan bantuan kesihatan mental.

Pihak pengurusan juga perlu melihat bukan sahaja faktor individu, tetapi juga risiko psikososial dan faktor organisasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental pekerja.

“Peranan DOSH-certified Psychosocial Trained Person (PTP) perlu diperkasa bagi membantu mengenal pasti dan menangani risiko psikososial di tempat kerja serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat dari sudut psikologi,” tambahnya.

Sebelum ini, JPA memaklumkan sedang membangunkan Garis Panduan Kesihatan Mental Perkhidmatan Awam selain merancang pengenalan Indeks Kebahagiaan Penjawat Awam sebagai instrumen untuk mengukur dan menilai tahap kesejahteraan psikologi penjawat awam secara lebih komprehensif.

Sementara itu, Pengerusi Befrienders Pulau Pinang, SARAS PILLAY, menyambut baik langkah proaktif JPA dalam memperkukuh intervensi awal dan kesejahteraan emosi warga kerja.

Saringan kesihatan mental, katanya, penting bagi mengenal pasti individu yang berisiko lebih awal, manakala sokongan yang tepat pada masanya, tanpa stigma dan secara sulit perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan.

“Kesihatan mental bukan kelemahan peribadi, sebaliknya merupakan isu di tempat kerja dan masyarakat yang memerlukan tanggungjawab bersama, termasuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk warga kerja mendapatkan bantuan dan berkongsi masalah,” ujarnya ketika dihubungi.