Perkasakan rakyat dengan ilmu kebenaran – lebih 57,000 buku ditambah

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

ANTARA buku-buku yang terdapat di Perpustakaan Awam Bukit Mertajam.
ANTARA buku-buku yang terdapat di
Perpustakaan Awam Bukit Mertajam.

BUKIT MERTAJAM – Sejumlah RM90,000 telah diperutukkan bagi membaiki perpustakaan awam cawangan ini yang mengalami kerosakan teruk dan terpaksa dihentikan operasi lebih tiga bulan.

Bangunan usang yang terletak di simpang tiga tengah bandar ini sebelum ini berlantaikan kayu telah reput dan menyebabkan bahagian belakang yang menempatkan tiga rak buku rebah.

Selain menukar lantai kepada lantai jubin, beberapa infrastruktur lain juga telah dinaiktaraf antaranya penambahan lebih 57,000 buah bahan bacaan, penukaran rak-rak buku dan penghawa dingin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang memuji tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mampu menyiapkan projek baikpulih berkenaan kurang dari tempoh tiga bulan menyatakan bahawa penambahbaikan itu menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri amat mementingkan perkembangan ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Kita membina rakyat dengan prinsip 3P, Perkasakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkayakan Rakyat. Kita mesti memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya anak-anak kita boleh menjadi rakyat yang maju pada masa depan. Dengan ilmu itu, mereka akan beroleh kuasa kesedaran dan dapat membezakan antara yang benar dan yang batil,” kata Guan Eng dalam ucapannya.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru supaya rakyat negeri ini menyemarakkan budaya membaca dan mencari ilmu serta mendidik anak-anak dengan perkara yang benar supaya mereka membesar dengan kebenaran.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) Prof. Dr. P. Ramasamy; Timbalan Pengerusi PPAPP, Mohd. Salleh Man, Pengarah PPAPP, Shukriah Yon, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Tan Cheong Heng.