Perkaya peranan zakat basmi kemiskinan – Dr. Mujahid

Admin

KEMUNCAK pada ibadah berpuasa tidak lengkap sekiranya tidak dikeluarkan zakat sebelum memenuhi perayaan fitrah, iaitu Hari Raya Puasa.

Di Pulau Pinang, urusan zakat ini dilakukan oleh Zakat Penang. Ikuti wawancara wartawan Bulatan Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOBbersama-sama Ahli Lembaga Pengarah Zakat Penang , DATUK DR. MUJAHID YUSOF RAWA.

DR. mujahid Yusof Rawa.
DR. mujahid Yusof Rawa.

BM : Bolehkah Datuk jelaskan serba sedikit mengenai urusan zakat di negeri ini?

MUJAHID : Apabila kita mengambil alih Lembaga Urus Zakat Pulau Pinang, kita dapati terdapat beberapa kelemahan dilakukan ahli lembaga pengarah yang lepas.

Antara amalan pengurusan ahli lembaga pengarah yang dulu adalah mereka tidak terlibat bersama-sama dalam menyumbang idea. Mereka hanya datang mesyuarat serta menerima laporan mengenai urus zakat saja.

Sekarang, kita (ahli lembaga pengarah Zakat Penang) buat polisi bahawa setiap ahli lembaga pengarah itu sendiri mengeluarkan idea-idea bagaimana institusi ini boleh mengangkat martabat ummah Islam.

Kemudian, idea-idea yang baru dan dinamik ini akan diselaraskan dalam mesyuarat lembaga pengarah dari segi kebolehlaksanaannya di peringkat pengurusan. Itu pertama yang kita buat.

Kedua, hasil penilaian pengurusan terus zakat di negeri ini, ahli lembaga pengarah yang baru mencari solusi baru.

Kita tak kata semua model pengurusan diperkenalkan lembaga pengurusan dulu adalah tidak baik, tapi, kita melakukan pembaikan pada sesetengah hal pengurusan.

Kelemahan pada pengurusan ahli lembaga pengarah urus zakat yang dulu tetap ada, antaranya, sesetengah ahli lembaga pengarah tak banyak berfungsi secara wajar, dinamik dan progresif.

BM : Menyentuh mengenai ahli jawatankuasa, apakah mereka mempunyai peranan atau tanggungjawab khusus?

MUJAHID : Sepatutnya setiap ahli lembaga mempunyai jawatankuasanya tersendiri (seperti) promosi, perumahan, ekonomi , pembangunan asnaf dan sebagainya.

Kita cuba gerakan jawatankuasa ini terlebih dahulu di peringkat ahli lembaga pengarah. Ini kerana , sebagai ahli lembaga pengarah, kita banyak mempengaruhi dasardasar dilaksanakan di peringkat pengurusan.

Dari situ, kita membuat beberapa penstrukturan semula seperti jawatankuasa – jawatankuasa ini mesti berperanan memberi idea-idea.

Kita melihat peranan ini sangat besar jika benar-benar mahu melakukan satu permulaan yang baru.

Maka, kita mengadakan suatu khemah kerja di Gunung Jerai. Dalam perkhemahan kerja yang cukup bermakna itu, kita telah bedah balik beberapa kekurangan supaya ada lonjakan baru dalam institusi ini.

BM : Apakah hasil pemukiman itu?

MUJAHID : Hasil musyawarah itu, kita telah mendapat beberapa tujuan penting. Antaranya, kira perlu membuat sasaran kutipan. Tahun ini, kita sasar kutipan zakat sebanyak RM 100 juta.

Sasaran ini berdasarkan pada statistik umat Islam di negeri ini yang menurut pendapat kita, mereka ini gagal untuk mengeluarkan zakat.

Kalau dulu, kutipan zakat ini kalau ya pun mempunyai sasaran, Tetapi sasaran itu tidak berpandukan pada statistik, caranya biasa sahaja. Sekarang, semua keputusan pengurusan atau membabitkan dasar-dasar institusi mesti berdasarkan fakta dan statistik.

Kedua, sebagaimana kita melihat kutipan zakat itu penting, penting juga untuk setiap orang yang mengeluarkan zakat ini melihat dan percaya bahawa proses agihan akan dilakukan secara telus.

Agihan itu, orang kata, dibuat secara adil kepada semua asnaf yang layak. Maka, kita sekarang sedang giat meningkatkan budaya integriti dalam urusan agihan ini. Aspek integriti yang dititikberatkan di sini adalah mengenai aspek kelayakan dan mempercepatkan urusan agihan zakat ini.

Dulu, kena tunggu masa pihak berwajib lapang untuk beri sumbangan zakat, sekarang tidak, beri terus kalau lulus permohonan dan tak perlu tunggu sampai dua (hingga) tiga minggu.

Proses mempercepatkan urusan dengan birokrasi yang lebih mudah ini penting supaya institusi dilihat telus dan dipercayai.

BM : Ada pendapat mengatakan bahawa institusi ini tidak lagi berada pada landasan yang wajar disebabkan menerima pengaruh orang politik. Datuk boleh komen?

MUJAHID : Kita jua melihat hubungan kita (Pusat Urus Zakat Pulau pinang) dengan Kerajaan Negeri dari segi bahawa kita adalah sebahagian daripada agensi Kerajaan Negeri yang akan berlandaskan polisi-polisi mereka.

Sebagai contoh, agenda Kerajaan Negeri untuk menghapuskan kemiskinan, kita ada peranan di situ sungguhpun khusus untuk orang Islam, dasar-dasar serta amalan pengurusan kita mesti selari dengan cita-cita Kerajaan Negeri.

Sebab itulah, saya serta beberapa peribadi yang lain dilantik dari kalangan mereka yang berlatarbelakang politik supaya aspirasi Kerajaan Negeri ini mampu direalisasikan.

Bukan kita mahu menggunakan institusi ini untuk kepentingan politik, tetapi supaya aspirasi Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan umpamanya mampu dicapai.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa institusi ini semasa era Barisan Nasional memerintah Kerajaan Negeri dianggap cuba dipolitikkan. Golongan tertentu dikatakan menerima manfaat atas kedudukan politiknya.

Dalam ‘Pemukiman Gunung Jerai’, kita menegaskan bahawa ahli politik yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah hanya ‘Rakan’ Pusat Urus Zakat yang tidak boleh mempengaruhi proses pelaksanaan prosedur pengurusan di institusi tersebut.

Kita nak urusan dilakukan secara profesional, bukan ikut telunjuk ahli politik.

BM : Sepanjang menjadi ahli lembaga, bagaimana pula mengenai cabaran di institusi umat Islam ini?

MUJAHID : Cabaran banyak. Salah satunya , budaya profesionalisme. Bercakap mengenai profesionalisme, kami juga cuba meningkatkan peranan ‘amil’ (jurulatih zakat).

Kalau dulu, amil tunggu di masjid saja, Tetapi kini mereka sudah dilatih seperti agen insurans yang mencari pemberi dan penerima zakat.

Saya sendiri terlibat dalam jawatankuasa promosi sedang cuba mendekatkan diri dengan sektor korporat. Pertama, golongan korporat negeri ini dan yang kedua di Kuala Lumpur.

Kedua, kita imejkan semula institusi ini menjadi Zakat Penang dengan logo yang baru. Semua ini untuk meyakinkan pelanggan kira, isu pemberi dan penerima zakat.

BM : Sebagai pengakhiran, apakah harapan Datuk yang mungkin mahu dikongsi dengan pembaca BM?

MUJAHID : Harapan saya, bagaimana institusi ini boleh mengeluarkan golongangolongan layak menerima zakat menjadi golongan yang layak menyumbang zakat.

Di Zakat Penang ini, kita membantu golongan asnaf dari segi membina kemahiran serta memberi pinjaman tanpa faedah seperti mikro kredit Islam supaya mereka boleh keluar dari dunia kesempitan hidup.

Dengan cara ini, mungkin hasrat membasmi kemiskinan boleh dilakukan secara dinamik dan konstruktif. Dengan sokongan Kerajaan Negeri dan budaya pengurusan yang profesional, kita yakin ia boleh direalisasikan dan diteladankan di negeri-negeri lain.