Perkenal 14 SOP pembukaan premis makanan demi keselamatan dan kesihatan awam

Admin

GEORGE TOWN – Pemilik premis makanan yang berhasrat memulakan perniagaan pada 15 Mei ini diingatkan untuk mematuhi 14 langkah prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

 

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, SOP tersebut adalah bertujuan memberi keutamaan kepada keselamatan awam dan keselamatan kesihatan dalam pembukaan sektor makanan (makan di premis atau dine in) secara berfasa di negeri ini.

 

“Yang pertama, saringan COVID-19 perlu dilakukan ke atas semua pekerja warga asing di dalam premis makanan… yang kedua perlu ada contact tracing iaitu merekod nama dan nombor telefon pelanggan yang masuk ke premis dan yang ketiga, pelitup muka untuk pekerja kita wajibkan, untuk pelanggan kita galakkan dengan tegas.

 

“Seterusnya, semua peralatan makanan yang telah digunakan mesti disterilkan; kemudian nombor lima, peralatan makanan perlu dihidang oleh pelayan dan yang keenam, pelanggan tidak dibenarkan berkongsi peralatan makanan.

 

“Ketujuh, kita ada kawalan masa dan bilangan pelanggan di mana ia tidak melebihi 50 peratus kapasiti premis tersebut. Sekiranya premis boleh terima 20 orang maka kita tidak benarkan lebih dari 10 orang pada satu-satu masa,” ujar Jagdeep dalam satu sidang media di Komtar tengah hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Azman Sirun.

 

Antara langkah lain dalam SOP terbabit termasuklah penjarakan meja dua meter, jarak sosial satu meter antara satu sama lain, tidak membenarkan menjamu buffet dan mesti menggunakan sanitizer.

 

“Perkakasan seperti meja, kerusi perlu senantiasa dibersihkan termasuk proses nyah kuman selepas tamat perniagaan.

 

“Garisan jarak satu meter untuk pembayaran yang diamalkan sekarang perlu diteruskan dan kita galakkan transaksi tanpa tunai bagi mengelakkan sentuhan.

 

“Jadi ini adalah 14 langkah yang perlu dipatuhi oleh premis-premis yang dibenarkan beroperasi melalui dine in pada 15 Mei ini,” tegas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Bagaimanapun, sekiranya SOP ini gagal dipatuhi, tindakan tegas akan diambil kepada premis tersebut.

 

Difahamkan sebanyak 13 pasar raya di bahagian pulau diberi kebenaran untuk dine-in manakala 21 buah pasar raya di Seberang Perai.

 

Antara premis lain dibenarkan termasuklah hotel-hotel dan premis-premis makanan berfrancais.

 

Ditanya mengenai restoran biasa dan peniaga-peniaga kecil boleh dibenarkan beroperasi, jelas Jagdeep perkara tersebut akan dilakukan secara berfasa.

 

“Dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 99 peratus oleh rakyat Pulau Pinang sebelum ini saya yakin bahawa rakyat akan memastikan pematuhan 14 SOP ini yang membolehkan pembukaan premis-premis lain di fasa seterusnya,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : LAW SUUN TING