Perkhidmatan ambulans 24 jam sempena Tahun Baru Cina

PADANG LALANG – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia (Cawangan) Pulau Pinang melancarkan perkhidmatan ambulans 24 jam sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dekat Stesen Minyak Caltex, Jalan Song Ban Kheng di sini, semalam.

Chong Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa sebanyak empat pusat perkhidmatan ambulans PBSM akan bertugas selama 24 jam mulai 22 hingga 29 Januari ini.

Chong Eng mengedarkan cenderahati kepada penunggang motosikal selepas melancarkan program Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina, semalam.

“Ini adalah komitmen PBSM Pulau Pinang bagi menyokong dan membantu agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta hospital kerajaan melalui Ops Selamat di jalan raya sempena musim perayaan.

“Saya berasa kagum dengan keazaman yang ditonjolkan oleh ahli-ahli persatuan ini yang sanggup meluangkan masa demi menjalankan tugas menjaga kesejahteraan orang awam.

“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai supaya melihat ahli PBSM pulau Pinang bukan sahaja sebagai pasukan sukarelawan tetapi juga satu komponen penting dalam menjaga dan menjamin keselamatan dan kepentingan kita sepanjang masa,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Penasihat PBSM Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong; Pengerusi PBSM Pulau Pinang, Datuk Bj Yeang; wakil Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Pulau Pinang, Mohammad Syukri Abdullah; wakil Ketua Zon Perai Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, Mohd. Shukri Abdul Rahman; Pengurus Stesen Minyak Caltex Jalan Song Bang Kheng, Estewell Sdn. Bhd., Tan Seow Kuang serta ramai lagi.

Dalam pada itu, BJ Yeang memberitahu bahawa keempat-empat pejabat operasi perkhidmatan ambulans 24 jam akan ditempatkan di kawasan terplih sekitar pulau, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Seramai 150 orang ahli PBSM Pulau Pinang akan bertugas sepanjang Ops Selamat ini.

“(Dan) kakitangan di pusat perkhidmatan ambulans akan memberi khidmat dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang manakala selepas itu akan dikendalikan oleh ahli-ahli kami,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ahli-ahli bertugas adalah terdiri daripada mereka yang terlatih dalam rawatan penjagaan pra-hospital (pre hospital care) dan Bantuan Hidup Asas.

“Dengan perkhidmatan ambulans kepada orang awam, PBSM berharap agar dapat memberikan rawatan penjagaan pra-hospital supaya dapat menstabilkan keadaan pesakit,” katanya.

Difahamkan, program tersebut juga turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gamba : NUR AFIQAH ZAINUDI