Perkhidmatan bas percuma CAT Bayan Baru diharap bantu surai masalah trafik, budayakan penggunaan pengangkutan awam

Admin
ABDUL Halim Hussain (enam dari kanan) ketika melancarkan perkhidmatan bas perantara percuma CAT Bayan Baru, sebentar tadi.

BATU MAUNG – Pelancaran bas perantara percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) bagi kawasan Bayan Baru diharap dapat membantu menyuraikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata perkhidmatan bas percuma berkenaan bermula dari jam 6.30 pagi hingga 11.30 malam, setiap hari bermula hari ini.

CAT Bayan Baru ini merupakan lokasi kesembilan selepas perkhidmatan CAT (percuma) ini dilancarkan sejak 1 April lalu.

Ia adalah langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan juga membudayakan masyarakat Pulau Pinang agar menggunakan perkhidmatan awam.

Malah, langkah ini dilihat mampu membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat… nak pergi sekolah, pasar atau tempat tumpuan lain naik saja bas CAT ini, tak payah lagi risau tak ada tempat nak parkir kenderaan anda,” ujarnya semasa melancarkan perkhidmatan berkaitan sebentar tadi di Terminal Bas Bayan Baru berdekatan Olive Tree Hotel, di sini.

Hadir sama Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Zepri Saad.

Difahamkan, perkhidmatan bas CAT Bayan Baru berkenaan akan melalui beberapa lokasi utama seperti Stadium Mini Sungai Ara, Tunas Muda, Balai Polis Bayan Baru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, Hospital Pantai, Astaka Bukit Gedung, Masjid Umar Ibnu Al-Khattab, Kompleks Pasar Bayan Baru, Sunshine Square, D’Piazza Mall, Setia SPICE Convention Centre dan Kompleks Bukit Jambul.

PETA laluan CAT Bayan Baru.

Mengulas lanjut, kata Abdul Halim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, bagi membezakan bas percuma tersebut dengan perkhidmatan bas rapid yang lain, ia dibalut dengan warna hijau.

Perkhidmatan ini boleh dicapai dengan frekuensi 20 minit,” ujarnya lanjut.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan perkhidmatan bas percuma CAT sebagai salah satu alternatif untuk menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta setahun.