Majlis rumah terbuka sebagai tanda penghargaan, ADUN harap keharmonian berkekalan

Admin

SEBERANG JAYA – Penganjuran rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang diteruskan pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

Serentak itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, penganjuran program berkenaan kali ini dilihat mendapat sambutan lebih meriah di luar jangkaan.

“Tujuan penganjuran program ini adalah untuk meraikan masyarakat di sini, dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang sudi hadir.

“Saya berpendapat rumah terbuka tahun ini adalah yang paling meriah dan diharap agar keharmonian ini akan berkekalan sampai bila-bila,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya dekat Gelanggang Bola Keranjang A-Zone di sini baru-baru ini.

Hadir sama memeriahkan majlis, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Ohtman; ADUN Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal; wakil-wakil dari agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta penduduk setempat.

Afif yang juga Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar juga menjelaskan bahawa Gelanggang Bola Keranjang A-Zone yang menjadi lokasi majlis adalah gelanggang yang telah dinaik taraf menerusi peruntukan Kerajaan Negeri.

“Gelanggang yang baru dinaik taraf ini adalah hasil sumbangan Kerajaan Negeri hampir RM100,000, dan sumbangan tambahan oleh pejabat ADUN Seberang Jaya bagi menambah kelengkapankelengkapan baru seperti lampu dan sebagainya,” ujarnya.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah istimewa, tetamu yang hadir pada malam berkenaan juga turut dihiburkan dengan beberapa acara seperti agihan duit raya kepada kanak-kanak.

Lebih menarik apabila sebuah mesin kompos turut disediakan pada majlis berkenaan bagi menggalakkan amalan kitar semula dengan melaksanakan pengkomposan sisa makanan yang dapat mengurangkan penghasilan beban sampah.