Perkhidmatan gunting rambut asas, harap Pusat kaji semula

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang hari ini memutuskan bahawa Kerajaan Negeri berhak untuk tidak mengikuti keputusan Kerajaan Pusat yang menyenaraikan perkhidmatan gunting rambut asas antara sembilan sektor dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pendirian yang diputuskan adalah lebih tertumpu kepada keseimbangan antara kesihatan awam dan kehidupan rakyat di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memandang serius berhubung maklum balas awam diterima yang mana 95 peratus menyatakan kebimbangan mereka terhadap keputusan tersebut.

“Malah, mesyuarat turut mengambil kira persoalan berkaitan faktor-faktor jarak sosial dan juga kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baru bagi penyebaran COVID-19.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Pusat dapat mengkaji semula perkara ini demi keselamatan semua pihak,” katanya pada siaran mesej secara langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memberitahu bahawa mesyuarat tersebut turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh operasi bagi perkhidmatan penjualan kedai input pertanian (baja/racun), hardware, penjualan makanan haiwan kesayangan dan ubatan kepada jam 5 petang.

“Bagi perkhidmatan-perkhidmatan ini, tempoh operasi akan dilanjutkan kepada jam 8 pagi hingga 5 petang berbanding kini (8 pagi hingga 2 petang), dan hari pengoperasian pula masih dikekalkan dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis.

“Selain itu, mesyuarat juga memutuskan bahawa inisiatif disinfeksi kawasan umum adalah tidak membantu dalam pembasmian kuman serta virus (COVID-19) berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Apa yang lebih penting adalah menjaga kebersihan diri melalui amalan mencuci tangan dan mandi selepas terlibat dengan pergerakan di luar rumah,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sehingga 9 April lalu, sebanyak 1.3 juta pelitup muka telah diedarkan khususnya kepada pasukan barisan hadapan dan masyarakat yang memerlukan.

“Tidak terkecuali adalah sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE), pelindung muka, pensanitasi tangan, termometer, sarung tangan dan sarung kaki yang keseluruhannya berjumlah 330,352 unit.

“Diharapkan segala bantuan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan kerisauan serta beban ditanggung anggota-anggota barisan hadapan kita serta seluruh rakyat negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati semasa melakukan pembelian pelitup muka secara dalam talian.

“Ini kerana, menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh 30 Januari hingga 9 April 2020, sebanyak 60 kertas sisatan perniagaan pelitup muka secara scam melalui online dilaporkan di lima daerah di negeri ini membabitkan kerugian berjumlah RM466,496.

“Oleh itu, orang ramai diminta berwaspada dengan merujuk kepada maklumat serta pihak yang sahih terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD