Perkhidmatan kaunter bergerak di pasar awam bantu warga emas daftar program E-Tunai Rakyat

BERAPIT – Program perkhidmatan kaunter bergerak di pasar awam anjuran pejabat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Berapit bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat berkaitan program E-Tunai Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee memberitahu bahawa perkhidmatan berkenaan yang dibuka selama tiga jam mulai jam 7.30 sehingga 10.30 pagi itu menyasarkan golongan warga emas.

“Sebelum sambutan Tahun Baru Cina, kita telah adakan program pemeriksaan kereta secara percuma bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk memastikan kenderaan dalam keadaan selamat.

“Bersama-sama program tersebut, kita juga buka kaunter untuk pendaftaran program E-Tunai Rakyat yang mana kita dapati sambutan adalah sangat menggalakkan.

Warga emas memberikan respons yang amat baik terhadap program E-Tunai Rakyat.

“Oleh itu, kita anjurkan program ini buat kali kedua di pasar awam khusus untuk pendaftaran E-Tunai Rakyat dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru dan wanita DAP Pulau Pinang,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa meninjau program berkenaan dekat Pasar Awam Kampung Baru, di sini pada 8 Februari lalu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa respons yang diberikan masyarakat terhadap program E-Tunai Rakyat adalah sangat baik termasuk golongan warga emas.

“Sejak penganjuran program ini kita dapati kumpulan warga emas juga berminat untuk mempelajari penggunaan transaksi tanpa tunai tetapi mereka cuma kurang faham tentang cara untuk menggunakan ia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Lee Lee turut menasihati masyarakat di negeri ini supaya meningkatkan aspek penjagaan kebersihan ekoran penularan wabak koronavirus (2019-nCoV) yang turut membabitkan negara ini.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF