Salur RM20,000 kepada FAMA, anjur program My Best Buy 2.0

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM20,000 kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang bagi menganjurkan program My Best Buy (MBB) di lebih 20 lokasi terpilih di negeri ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, sejak 2016 sehingga 31 Disember tahun lalu (2019), program berkenaan mencatatkan nilai jualan kira-kira RM2.83 juta yang melibatkan 1,471 usahawan dan 174,750 pengunjung.

Bekalan mentah dijual dengan harga lebih murah pada program My Best Buy berbanding harga pasaran.

“Saya telah meluluskan sebanyak RM20,000 kepada FAMA Pulau Pinang untuk kita adakan program ini di lebih 20 lokasi lagi di seluruh negeri.

“Tujuannya adalah supaya kita dapat sampai kepada lebih ramai masyarakat dan pastinya golongan sasar yang kita akan tumpukan iaitu keluarga berpendapatan rendah (B40),” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan program MBB 2.0 di padang bola Taman Pauh, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman; ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Pauh serta usahawan-usahawan MBB.

Mengulas lanjut, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, program MBB membantu masyarakat untuk mendapatkan bekalan mentah yang segar dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Selain itu, pelbagai program pemasaran FAMA yang memberi manfaat terus kepada pengguna turut ditawarkan melalui program ini seperti Jualan Terus Dari Ladang, Jualan Terus Dari Kilang, Jimat Belanja Dapur dan banyak lagi.

“Melalui program ini juga sebanyak RM565,029.69 nilai penjimatan telah dinikmati oleh pengguna,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Habibah memberitahu bahawa peruntukan RM20,000 berkenaan akan disalurkan untuk menggerakkan 20 program MBB 2.0 di seluruh negeri ini.

“Untuk fasa pertama, kita rancang guna peruntukan ini untuk 20 program sebelum tiba Hari Raya Aidilfitri pada Mei akan datang, supaya penjimatan maksimum boleh dinikmati ramai orang terutamanya sebagai persiapan hari raya,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI