Perkhidmatan kaunter bergerak di pasar awam demi memudahkan urusan penduduk

Admin

BERAPIT – Program perkhidmatan kaunter bergerak di pasar awam anjuran pejabat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Berapit adalah demi memudahkan urusan penduduk setempat khususnya golongan wanita dan warga emas.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru, Tan Chun Hong berkata, perkhidmatan berkenaan dibuka selama dua jam iaitu mulai jam 7.30 sehingga 9.30 pagi.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang disediakan adalah permohonan bagi program-program kebajikan anjurkan Kerajaan Negeri, perkhidmatan kesihatan, permohonan rumah kos rendah, pendaftaran mengundi, pembayaran utiliti, membuat aduan dan banyak lagi.

“Hari ini juga ada perkhidmatan kaunter bergerak oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), justeru, kita bawa sekali perkhidmatan-perkhidmatan lain untuk memudahkan urusan penduduk.

Pengunjung Pasar Awam Kampung Baru mengambil peluang menyelesaikan pelbagai urusan di kaunter bergerak disediakan pejabat KADUN Berapit.

“Dalam masa satu jam sahaja, kita telah menerima banyak permohonan iaitu 75 kes melibatkan MPSP, pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (23), sewaan gerai (46), bayaran kompaun (6), aduan (2), permhonan Program Warga Emas (1) dan Ibu Emas (3).

“Selain itu, terdapat juga penduduk yang membuat permohonan Program E-Kasih sebanyak 13 kes, pertukaran alamat mengundi (3), pendaftaran pengundi baru (2), dan urusan melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (100),” katanya pada sidang media dekat Pasar Awam Kampung Baru, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Ng Hooi Ting dan Ahli Majlis bagi MPSP, Bernard Cheen Goon Hooi.

Dalam pada itu, Goon Hooi memberitahu bahawa MPSP juga akan meneruskan khidmat kaunter bergerak di beberapa lagi pasar awam lain sekiranya perkhidmatan tersebut mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.

“Memandangkan perkhidmatan ini mendapat sambutan baik dari orang ramai,maka MPSP akan memberi perkhidmatan ini secara berterusan untuk memudahkan penghuni mengendalikan hal hal yg berkaitan seperti membayar bil dan lain-lain.

“Justeru, kita akan meneruskan kaunter bergerak ini akan ke Desa Murni Sungai Dua pada 27 Jun ini iaitu dari jam 10:00 pagi hingga 12:30 tengahari,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS