Runtuhan tembok penahan: Siasat & ambil tindakan jika terdapat perlanggaran perundangan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu membuat siasatan terperinci dan mengambil tindakan sekiranya terdapat perlanggaran perundangan daripada pihak yang terbabit di sebalik kejadian runtuhan tembok penahan dekat Tanjong Bungah, semalam.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pagi tadi turut dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan di tanah milik persendirian tersebut dilakukan tanpa mendapat kebenaran daripada MBPP.

“Itu, milikan tanah persendirian… tuan tanah melalui pekerja-pekerja sedang membina satu tembok penahan yang baru apabila mendapati tembok sedia ada pun ada retakan.

“MBPP tidak pernah menerima apa-apa permohonan pelan untuk melaksanakan kerja ini, dan kita percaya berdasarkan penglihatan di tapak, kerja-kerja ini dilakukan tanpa (perkhidmatan) pakar kejuruteraan.

“Kejadian (runtuhan tembok penahan) ini memang tidak diingini tapi ia telahpun berlaku… bagi pihak Kerajaan Negeri, takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

“Sebarang pelanggaran undang-undang, MBPP perlu mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 26 Jun 2019.

Turut serta, Exco-exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Shahabuddin Mohd. Muhayidin.

Kon Yeow memberitahu, sebahagian laluan berkaitan sepanjang 50 meter (m) akan ditutup kira-kira empat minggu untuk kerja-kerja mitigasi yang akan dilaksanakan oleh JKR sendiri.

Sebelum itu, Tung Seang menyatakan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan dan MBPP bakal mengambil tindakan perundangan terhadap pihak-pihak terbabit.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya mendapatkan kelulusan MBPP terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang kerja-kerja pembinaan, demi mengelak insiden sebegini berulang.

Dalam pada itu, menurut Shahabuddin, hasil siasatan JKR negeri mendapati bahawa kejadian tanah runtuh yang terjadi semalam turut memberi kesan kepada cerun sedia ada di sepanjang Jalan Tanjung Bungah ke Batu Feringgi.

“Daripada pemerhatian kita, pada cerun telahpun diambil tindakan awalan bagi memastikan tidak akan berlaku hakisan yang lebih besar lagi, itu adalah tindakan jangka masa pendek kita (JKR) dalam bentuk projek mitigasi sementara.

“Untuk jangkamasa panjang iaitu dalam bentuk mitigasi kekal, pelan tindakan kita (JKR) adalah projek pembinaan untuk menstabilkan cerun dengan menggunakan cerucuk kepingan (sheet piling),” jelasnya sambil memberitahu JKR negeri telah menutup separuh daripada laluan berhampiran tapak kejadian untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Terdahulu, kira-kira jam 9 malam pada 25 Jun 2019 (Selasa), kejadian runtuhan tembok penahan di Lot 74 dan 98 dekat Tanjong Bungah berlaku ketika kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan di sana.

Empat buruh asing berkerakyatan Myanmar mati tertimbus dalam kejadian runtuhan tembok projek ‘pembinaan tanpa kebenaran’ yang dilakukan oleh pihak tuan tanah persendirian sendiri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Jurugambar : LAW SUUN TING & NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD