Perkhidmatan Kaunter Bergerak KEMARA terima sambutan menggalakkan

Admin
img 20260820 wa0039

GEORGE TOWN – Pendekatan proaktif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyampaikan perkhidmatan kebajikan menerusi Kaunter Bergerak Kebajikan Manfaat Rakyat (KEMARA) mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 582 orang telah mendapatkan khidmat tersebut sepanjang tempoh percubaan sejak 16 Jun lalu.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kaunter berkenaan telah beroperasi sebanyak 18 kali di Hospital Pulau Pinang (HPP), dengan 424 kes atau 72.9 peratus daripada keseluruhan kes berjaya diselesaikan secara terus di kaunter.

Menurut beliau, sebanyak 98 kes (16.8 peratus) pula dirujuk kepada jabatan atau agensi berkaitan, manakala 38 kes (6.5 peratus) dirujuk kepada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pusat khidmat masyarakat.

“Sebanyak 22 kes lagi (3.8 peratus) akan terus dipantau dan diambil tindakan susulan oleh Unit KEMARA yang ditubuhkan di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Kebajikan.

“Orang ramai yang datang mendapatkan bantuan kebiasaannya berdepan dengan pelbagai masalah dan pada masa sama amat memerlukan panduan bagi membantu mereka keluar daripada kesukaran hidup,” katanya pada sidang media di HPP, di sini pada 20 Ogos 2026.

img 20260820 wa0044img 20260820 wa0038img 20260820 wa0040

Turut hadir, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizam Abdullah; Pengarah HPP, Dr. Goh Hin Kwang; Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HPP, Dato’ Teh Leong Seng; Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut, Tam Weng Kiat dan Ahli Majlis MBPP, Tan Soon Aun.

Siew Khim berkata, sejak mengambil alih portfolio Kebajikan pada Ogos 2023, beliau sentiasa menegaskan bahawa pengurusan kebajikan tidak boleh dilaksanakan secara pasif dengan hanya menunggu rakyat hadir ke pejabat.

Sebaliknya, katanya, pihak berkaitan perlu turun padang dan mendekati masyarakat bagi memahami keperluan sebenar mereka serta memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan.

“Konsep kebajikan adalah kita perlu turun padang, mendekati masyarakat dan memahami keperluan rakyat.

“Ada yang berdepan penyakit kronik, perlu menjaga ahli keluarga yang terlantar sakit untuk tempoh yang panjang, malah ada yang tiba-tiba kehilangan sumber pendapatan dan tidak tahu kepada agensi atau pihak mana mereka perlu mendapatkan bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata, HPP dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Kaunter Bergerak KEMARA kerana hospital merupakan antara lokasi penting yang menjadi titik pertemuan antara kerajaan dengan rakyat.

Menurutnya, golongan yang berada di hospital lazimnya berada dalam keadaan rapuh dan memerlukan panduan serta bantuan, justeru kehadiran perkhidmatan kebajikan secara terus di lokasi berkenaan amat signifikan.

Siew Khim berkata, menerusi Dasar Tiada Pintu yang Salah (No Wrong Door Policy), Kaunter Bergerak KEMARA berperanan sebagai platform bantuan dan rujukan kepada rakyat.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk maklumat berkaitan i-Sejahtera, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan pengurusan jenazah, bantuan tunai, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya sesuatu kes memerlukan tindakan susulan yang lebih menyeluruh, Unit KEMARA akan mengambil alih bagi membantu menghubungkan pemohon dengan jabatan atau agensi kerajaan, pusat khidmat masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau saluran lain yang bersesuaian,” katanya.

Susulan sambutan menggalakkan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri merancang memperluaskan perkhidmatan Kaunter Bergerak KEMARA ke hospital-hospital kerajaan lain pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Hin Kwang berkata, HPP bersetuju melanjutkan pelaksanaan Kaunter Bergerak KEMARA selama enam bulan lagi bagi membolehkan lebih ramai pesakit dan orang awam mendapatkan manfaat.

img 20260820 wa0037
Dr. Goh Hin Kwang.

Beliau berkata, HPP menerima kira-kira 2,500 pesakit luar dan 800 pesakit dalam setiap hari, dengan purata 30 hingga 32 orang mendapatkan khidmat Kaunter Bergerak KEMARA setiap hari.

Sehubungan itu, katanya, pihak hospital mengalu-alukan jabatan dan agensi kerajaan untuk menubuhkan kaunter perkhidmatan di hospital bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan serta maklumat yang diperlukan.

Sementara itu, Zulhizam berkata, Malaysia dijangka memasuki status negara menua pada 2036, sekali gus menyaksikan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan, kebajikan dan bantuan kewangan.

img 20260820 wa0036
Dr. Zulhizam Abdullah.

Beliau berkata, perkhidmatan kebajikan bukan sahaja perlu memastikan golongan memerlukan mengetahui jenis bantuan yang tersedia, malah turut memberikan panduan mengenai kaedah untuk mendapatkannya.

Dalam perkembangan berkaitan, HPP turut merancang melaksanakan projek perintis STEPS (Student Team for Escort and Patient Support) dengan RCSI & UCD Malaysia Campus (RUMC) selama dua bulan bermula pertengahan September.

Menerusi inisiatif tersebut, sehingga sembilan pelajar perubatan akan bertugas setiap Selasa dan Khamis, dari jam 7.30 pagi hingga 9.00 pagi, bagi membantu pesakit menggunakan kerusi roda serta mendapatkan lokasi klinik yang dituju.

HPP juga merancang memperluaskan perkhidmatan fisioterapi dan terapi cara kerja ke klinik-klinik kesihatan selaras dengan konsep Kluster Penjagaan Kesihatan Pulau Pinang.

Klinik Kesihatan Ayer Itam dijangka menjadi lokasi pertama bagi pelaksanaan inisiatif tersebut pada pertengahan September, sebelum diperluaskan ke lokasi lain sekiranya projek perintis berkenaan berjaya.

Kaunter Bergerak KEMARA kini beroperasi setiap Selasa dan Khamis, dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Ruang Legar Blok B, HPP.

Walaupun ditempatkan di HPP, perkhidmatan berkenaan terbuka kepada semua masyarakat yang memerlukan khidmat nasihat dan rujukan berkaitan kebajikan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Unit KEMARA melalui WhatsApp di 011-5363 5699 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

img 20260820 wa0053

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT