SUKMA 2026: Akur kelincahan lawan, perak penuh makna buat futsal Pulau Pinang

Admin
img 6768

SHAH ALAM, SELANGOR — Skuad futsal Pulau Pinang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih pingat perak dalam saingan akhir Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Meskipun memberikan tentangan sengit sehingga minit akhir, skuad negeri terpaksa akur selepas tewas 1-4 kepada pasukan tuan rumah, Selangor, dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Selangor (KOMBES) malam tadi.

Aksi berprestij itu menyaksikan Pulau Pinang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan deras dari luar petak penalti oleh Muhammad Amirulhakimi Mohd. Admi, kira-kira dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Namun, kelebihan satu gol itu menyemarakkan semangat juang Selangor yang tampil lebih agresif pada babak kedua bagi mempertahankan gelaran juara yang dimenangi mereka pada edisi lalu di Sarawak.

Asakan bertali arus Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Amir Ammar Ibrahim menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

Pasukan tuan rumah terus mengukuhkan cengkaman apabila Fitri Haqim Faiznizam meledak dua gol pantas pada minit ke-33 dan ke-34, sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-38 sekali gus menutup peluang Pulau Pinang untuk merangkul pingat emas.

Biarpun keputusan tidak memihak kepada Pulau Pinang, perjuangan gigih skuad negeri hingga wisel penamat dibunyikan tetap membolehkan mereka membawa pulang pingat perak yang penuh bermakna.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAIL ONG (MSNPP)