GEORGE TOWN – Usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat perlu digerakkan secara bersama dengan melibatkan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), masjid, komuniti serta sektor swasta bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima sokongan.
Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying pada Program Mind Tour Kaunseling Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Program Pemberian Bakul Makanan Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang berlangsung di Masjid Jamek Jalan Hatin, di sini, sebentar tadi.

Menurut beliau, program seumpama itu, bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan atau melaksanakan aktiviti gotong-royong, sebaliknya menjadi platform untuk mendekati masyarakat serta menunjukkan keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi mereka.
“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah seseorang, tetapi kadang-kadang sedikit bantuan, sedikit masa dan sedikit perhatian sudah cukup untuk membuat seseorang berasa bahawa mereka tidak berseorangan.
“Itulah semangat yang kita mahu bina dalam masyarakat kita, iaitu saling membantu, saling mengambil berat dan tidak membiarkan sesiapa pun ketinggalan,” ujarnya.
Jelas Hui Ying, keperluan masyarakat bukan hanya berkaitan makanan dan kewangan, malah terdapat individu yang berdepan masalah keluarga, tekanan hidup serta masalah emosi dan memerlukan ruang untuk berkongsi serta didengari.
“Sehubungan itu, saya mahu menggalakkan masyarakat mengenali perkhidmatan PSSS yang menyediakan sokongan, nasihat dan bimbingan daripada kaunselor profesional melalui pendekatan ‘kami dengar, kami bantu’.
“Jangan tunggu masalah menjadi terlalu besar baru kita minta bantuan. Mendapatkan sokongan bukan tanda kita lemah, sebaliknya menunjukkan kita mengambil berat tentang diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling kita,” jelas Ahli Parlimen Tanjong itu lagi.

Pada majlis sama, beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM65,000 telah disalurkan kepada Masjid Jamek Jalan Hatin bagi membantu kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan masjid.
Difahamkan, antara kerja yang dilaksanakan termasuk penggantian dinding zink kepada dinding bata, kerja mengecat serta meratakan lantai.
Mengulas mengenai kerja-kerja penambahbaikan, Hui Ying memberitahu bahawa kemudahan masjid yang lebih baik dan selesa bukan sahaja memberi manfaat kepada jemaah untuk beribadah, malah turut menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan komuniti setempat.
“Dengan penambahbaikan ini, saya berharap kemudahan yang disediakan dapat digunakan dan dijaga bersama-sama oleh pihak pengurusan masjid serta seluruh masyarakat,” ulasnya lanjut.
Program berkenaan turut menyaksikan penyampaian bakul makanan kepada golongan yang memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Beliau dalam pada itu turut menyeru lebih ramai individu dan syarikat supaya tampil menyumbang menerusi YKN bagi membolehkan lebih banyak keluarga serta individu yang memerlukan dibantu.
Beliau memaklumkan bahawa sumbangan tunai kepada YKN layak mendapat pengecualian cukai, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang berkuat kuasa.
“Semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi program seperti itu perlu diteruskan agar masyarakat dapat saling membantu, mendengar dan mengambil berat antara satu sama lain.
“Apabila seseorang susah, ada orang yang membantu dan apabila seseorang menghadapi masalah, ada orang yang mendengar dan apabila ada sesuatu yang perlu dilakukan untuk kebaikan bersama, kita turut tampil melakukannya bersama-sama.
“Inilah semangat komuniti yang kita mahu lihat, bukan hanya hari ini, tetapi setiap hari,” katanya.