Permohonan sewa gerai niaga milik MBPP dibuka 10 – 21 Ogos

GEORGE TOWN – Permohonan bagi sewaan gerai niaga di pasar, kompleks dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan dibuka mulai esok,  10 sehingga 21 Ogos 2022.

 

Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey berkata, permohonan akan dibuka secara dalam talian melalui portal https://elesen.mbpp.gov.my

 

Sekiranya pemohon tidak mendaftarkan diri dalam tempoh yang ditetapkan ini, maka mereka tidak layak untuk ditemu duga.

 

“Pemohon juga dinasihatkan supaya memberi nombor telefon yang betul dan tepat untuk menerima notifikasi daripada kami (MBPP) melalui aplikasi WhatsApp,” ujarnya pada sidang media yang diadakan melalui platform Zoom pada 9 Ogos 2022.

 

SENARAI gerai kosong yang ditawarkan di pasar, kompleks dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Mengulas lanjut, Jie Wey memaklumkan bahawa mereka yang disenarai pendek akan menghadiri sesi tatacara temu duga yang diadakan secara dalam talian pada 22 Ogos 2022.

 

 

Tujuan sesi ini diadakan adalah bagi memastikan mereka yang hadir pada sesi temu duga nanti faham dan tahu bagaimana menggunakan aplikasi Zoom.

 

“Hal ini kerana, sebelum ini terdapat segelintir pemohon yang menghadapi kesukaran menggunakan aplikasi tersebut apabila sesi temu duga dijalankan,” jelasnya.

 

Difahamkan, sesi temu duga akan diadakan pada 23 Ogos 2022 secara dalam talian. Sebanyak 50 buah gerai terdiri daripada gerai jualan ikan, ayam, sayur, bunga, telur, barangan runcit, barangan am, gerai makanan dan minuman ditawarkan untuk sewaan kali ini.

 

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung penawaran sewaan ini sila hubungi talian 04-263 8818 samb. 307/308/309/310.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ARKIB BULETIN MUTIARA