YIPP meterai perjanjian realisasi Sekolah Antarabangsa Islam pertama Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Alnoor Foundation bagi mewujudkan Sekolah Antarabangsa Islam pertama di Pulau Pinang.

 

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata sebidang tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkeluasan lima hektar dekat Lintang Sungai Ara telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut.

 

 

“YIPP sebelum ini sememangnya diberi peluang untuk meneroka bidang pendidikan umat Islam di negeri ini.

 

 

“Matlamat MoU ini adalah menawarkan pilihan pendidikan Islam bertaraf antarabangsa kepaya rakyat Pulau Pinang dan utara Malaysia yang ingin mendapatkan pendidikan pada peringkat tadika, rendah dan menengah dalam bidang agama dengan silibus pembelajaran bertaraf antarabangsa.

 

 

“Selain itu, MoU ini bertujuan menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pendidikan bukan sahaja kepada negeri di kawasan utara, bahkan mampu menjadi tarikan kepada pelajar dalam dan luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam pendidikan agama dengan penarafan antarabangsa,” ujar Zakiyuddin pada Majlis Menandatangani MoU dekat sebuah hotel di George Town tengah hari tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Pengurus Besar YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim; Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Alnoor, Dr. Waleed Almualimi.

 

Majlis menandatangani MoU tersebut dimeterai antara Mohd. Fitri mewakil YIPP dan Waleed bagi pihak Alnoor Foundation sambil disaksikan oleh Ahmad Zakiyuddin.

 

 

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi, dan Pemerkasaan Komuniti projek tersebut juga dilihat selari dengan visi Khaira Ummah 2030 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

 

“Visi ini memberikan fokus kepada ekonomi dan pendidikan agar umat Islam khasnya di Pulau Pinang tidak ketinggalan dalam mengecapi kemajuan,” katanya yang juga Yang Dipertua MAINPP.

 

 

Difahamkan, Alnoor Faundation kini sedang mengoperasikan Sekolah Antarabangsa miliknya iaitu International Modern Arabic School (IMAS) di Putrajaya.

 

 

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR ATIKAH RAHMAT