Perniagaan kian terjejas semasa PKP antara keluhan responden di pusat beli-belah

Admin

Sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara dilaksanakan, orang awam dilihat lebih memilih untuk tinggal di rumah disebabkan pergerakan semakin yang terbatas dek sekatan jalan raya yang ketat.

Lantaran itu, pusat beli belah juga kurang dikunjungi sehingga menimbulkan keluhan dalam kalangan peniaga.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar CHAN KOK KUAN berkesempatan menemu bual beberapa responden di pusat beli-belah sekitar George Town untuk mendapatkan respons mereka mengenai keadaan perniagaan ketika ini.

Zax Lee.

Sebagai pemilik kedai barangan seni buatan tangan, ZAX LEE, 31, mmemberitahu bahawa perniagannya sangat terkesan dek pelaksanaan PKP yang mana hasil jualan merosot dengan teruk.

“Tidak semua orang meminati hasil seni buatan tangan dan hanya segelintir yang mengaguminya. Oleh itu, tidak ramai yang berkunjung ke kedai ini dan jika ada pun hanya tidak sampai 10 orang.

“Saya mempunyai kedai sendiri di sekitar ibu kota yang sering dikunjungi oleh pelancong luar tetapi memandangkan keadaan sekarang tidak mengizinkan, tiada siapa lagi yang mahu datang,” luah Zax Lee yang memulakan pameran seni di pusat beli-belah sejak seminggu lalu.

Tena.

TENA, 41, turut meluahkan keresahan kerana perniagaan makanan ala Thai di medan selera semakin kekurangan pelanggan disebabkan keputusan pihak berkuasa untuk tidak membenarkan makan di restoran.

“Walaupun hanya pekerja tetapi saya simpati melihat majikan saya yang bersusah payah memastikan perniagaan tetap dijalankan setiap hari kerana sewa dan gaji pekerja harus dibayar setiap bulan.

“Jualan dalam sehari selalunya mencecah hingga ribuan ringgit tetapi kini nak dapat angka ratus pun belum tentu kerana kekurangan pelanggan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, TAN KAH YIN, 30, yang merupakan pekerja di salun rambut pula mengatakan bahawa PKP kali ini memberi impak bukan sahaja terhadap majikan tetapi juga dirinya sebagai pekerja.

“Selalunya yang datang hanya pelanggan tetap, itu pun hanya seorang dua seperti hari ini saya hanya duduk dan tunggu sahaja sehingga orang datang.

“Terdapat juga masalah yang timbul dari segi pemberian gaji yang mana sudah tentu gaji dipotong kerana perniagaan agak merudum, tambahan pula majikan perlu membayar sewa yang tinggi di sini,” katanya.

Suasana medan selera yang suram tanpa pelanggan

Selain itu, pemilik kedai Nasi Lemak dan Nasi Padang yang hanya mahu dikenali sebagai TAN, pula mengatakan beliau akan berpindah ke tempat lain untuk menjalankan perniagaannya jika keadaan ini berterusan.

“Saya tidak tahan membayar kadar sewa mahal mencecah RM4,000 sebulan yang seolah-olah ‘mencekik darah’ para peniaga di sini.

“Jika dilihat sekarang tiada orang yang datang untuk membeli, dan siapa yang mahu memarkir kereta semata-mata untuk membungkus makanan di medan selera ini, memang tidak ada kecuali orang tersebut merupakan pelanggan tetap,” ujarnya.

INA, 26, yang merupakan pekerja di kedai kelengkapan rumah memberitahu bahawa berlaku pengurangan jumlah pengunjung yang amat ketara sejak pelaksanaan PKP seminggu lalu.

“Kedai tetap beroperasi seperti biasa akan tetapi pengunjung tidak lagi ramai seperti dulu dan kadang-kadang tiada langsung yang datang.

“Setakat ini pihak pengurusan tidak mengemukakan sebarang masalah dan gaji pekerja diberi seperti dijanjikan. Seandainya PKP masih berlanjutan, tidak pasti sama ada kedai ini ditutup atau tidak bergantung kepada arahan majikan,” jelasnya lagi.